Keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh kosong adalah berdasarkan tafsiran mahkamah terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
Keputusan ini mengesahkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah membuat tafsiran yang serupa. Suruhanjaya Pilihanraya telah membuat keputusan sebelumnya bahawa Speaker telah terkhilaf dalam membuat tafsiran dan menganggap dirinya sebagai pihak yang berkuasa untuk mentafsir Undang-undang Tubuh tersebut, bukannya Speaker Dewan dari mana undang-undang tersebut digubal.
Semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker adalah untuk mendapatkan tafsiran mahkamah samada kerusi tersebut kosong dan bukan untuk mendapatkan keputusan mahkamah pihak mana yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu kerusi itu kosong.
Seharusnya keputusan mahkamah didapatkan bahawa SPR adalah badan yang mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan proses pilihanraya dan bukan untuk menentukan kekosongan sesuatu kerusi. Kuasa untuk menentukan kekosongan sesuatu kerusi di dalam Dewan sudah tentu terletak pada Dewan itu sendiri, yakni Speaker.
Namun apakah ini bermakna Speaker mempunyai wewenngan luas untuk membuat sebarang pengisyiharan mengenai kekosongan? Apakah keputusan Speaker tidak boleh dicabar?
Sudah tentu keputusan Speaker seharusnya boleh dicabar di mahkamah oleh pihak yang terkilan (aggrieved) dengan keputusan Speaker tersebut, iaitu Ahli Dewan terlibat atau boleh juga pengundi di kawasan yang diwakili oleh Ahli tersebut.
SPR bukan pihak yang terkilan atau teraniaya di dalam situasi ini. Apa kepentingan kepada SPR samada seseorang wakil rakyat itu terlucut kelayakan atau tidak?
SPR cuba (dan gagal) untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Kini SPR akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Apakah kepentingan dan hak SPR terjejas sekiranya Abu Hasan Sarif hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.
Seharusnya Abu Hasan dan UMNO yang perlu bersungguh-sungguh atau bermati-matian mempertahankan kelayakan memegang kerusi tersebut.
SPR memfailkan rayuan kerana ia dinamakan di dalam semakan kehakiman tersebut bersama Abu Hasan.
Seharusnya semakan kehakiman dipohon untuk mendapatkan keputusan mahkamah bahawa (1) Kerusi tersebut kosong; (2) SPR tidak mempunyai kuasa dan kepentingan untuk menentukan mana-mana kerusi kosong atau tidak; (3) SPR telah terkhilaf dan melampaui bidang kuasa dalam membuat pengisytiharan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong.
Selagimana mahkamah tidak membuat pengisytiharan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menentukan sesuatu kerusi Dewan kosong atau tidak dan mengesahkan bahawa kuasa tersebut adalah terletak pada Speaker Dewan, selagi itu SPR akan terus campur tangan di dalam urusan Dewan.
Sebelum ini SPR telah melampaui bidang kuasa dengan menolak pengisytiharan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bahawa tiga kerusi di dalam Dewan telah kosong. Kesahihan surat perletakan jawatan tanpa tarikh yang dikemukakan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah. SPR bukan badan yang mempunyai kuasa atau kemahiran untuk membuat penentuan.
Ini adalah pencabulan nyata terhadap doktrin pemisahan kuasa yang menetapkan bahawa bidang perundangan atau legislatif adalah bidang bebas dan tersendiri. Hanya bidang kehakiman mempunyai kuasa (yang diberikan oleh bidang perundangan melalui undang-undang) untuk menyemak keputusan-keputusan bidang perundangan atau eksekutif.
SPR tidak ada kuasa untuk campur tangan di dalam urusan bidang perundangan.
Malaysia perlu mengambil inisiatif serius untuk memastikan asas-asas kenegaraan seperti pemisahan kuasa ini dipatuhi dengan tegas. Jika keadaan haru biru yang diwujudkan oleh UMNO-BN dibiarkan berterusan, Malaysia tidak akan mampu berdiri sebagai sebuah negara.
UMNO-BN perlu sedar bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan bukan negara koboi tanpa sistem dan undang-undang. Justeru campur tangan dan tindakan mereka memperalatkan institusi-institusi negara, termasuk SPR, perlu dihentikan.
“Rakyat sepakat selamatkan Malaysia!”