Saya melihat senarai calon-calon untuk jawatan-jawatan di peringkat Cabang Keadilan seluruh negara dengan penuh minat. Saya merasa kagum melihat senarai untuk sesetengah Cabang.
Di peringkat nasional, pertandingan dan perebutan jawatan di dalam Keadilan tidak pernah kurang meriah. Perebutan jawatan Timbalan Presiden misalnya berlaku dalam tahun 2001, 2004 dan hampir-hampir berlaku pada 2007 sehingga Azmin Ali menarik diri. Di peringkiat Naib Presiden dan MPT sekalipun tidak pernah berlaku tanpa bertanding.
Tetapi di peringkat Cabang (dahulu Bahagian) tidak sebegitu meriah. Malah boleh dikatakan hampir hampir mati. Saya mengambil contoh Bahagian Subang. Pada peringkat awal, Subang adalah salah satu Bahagian yang kuat. Ezam Mohd Nor bermula di Bahagian Subang. Kemudian setelah berlaku persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003 di mana Subang dipecahkan kepada Subang dan kawasan baru Kelana Jaya, pemimpin Bahagian Subang kebanyakannya berpindah ke Kelana Jaya. Akibatnya Subang menjadi lemah dan tidak terurus.
Pada tahun 2007, setelah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Pengerusi, Keadilan Selangor memutuskan agar semua Bahagian dicergaskan dan menghantar perwakilan ke Kongres di Seremban. Pengarah Pilihanraya Abdul Rahim Abdul Wahab (Ketua Bahagian Selayang) dan saya selaku Ketua Penerangan berusaha agar Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Subang diadakan. Ia bukan mudah tetapi akhirnya ia berjaya diadakan.
Tetapi kini setelah Keadilan memenangi Parlimen Subang, Cabang tersebut berkembang subur. Pemilihan tahun ini menyaksikan perebutan 5 penjuru jawatan Ketua Cabang.
Pada saya ini adalah sesuatu yang sangat baik kepada pengukuhan parti.
Namun malang sekali Cabang hanya menjadi kukuh apabila kawasan Parlimen atau DUN di Cabang tersebut dimenangi. Lihat sahaja Cabang-cabang yang belum dimenangi. Ada yang tidak cukup calon sekalipun untuk mengisi jawatankuasa Cabang. Kita memerlukan Cabang yang kuat dan mantap untuk meraih kemenangan di dalam pilihanraya. Sukar untuk menang di Cabang yang lemah (meski tidak mustahil, seperti Subang).
Begitu ramai yang berpusu-pusu ke Cabang-cabang yang menang. Mungkin mencari peluang dan jawatan. Malah ada yang bersedia menjadi pemimpin jarak jauh.
Saya sendiri berpendirian bahawa saya menyertai Cabang di mana saya tinggal. Dulu saya tinggal di Hulu Klang, maka saya menyertai Gombak. Kini saya di Shah Alam, maka saya menyertai Cabang Shah Alam. Meski kampung halaman saya adalah Alor Setar, saya tidak memilih untuk menjadi pemimpin jarak jauh yang pulang melawat kawasan sekali sekala; meskipun menjelang pilihanraya 2008, saya dihubungi oleh Pengerusi Perhubungan Kedah untuk menjadi calon di salah satu kerusi di sana.
Menjadi pemimpin atau tidak; mendapat “peluang” atau tidak; tidak seharusnya menjadi keutamaan. Apa yang penting kuatkan parti, khidmat untuk rakyat dan negara. Sekadar yang termampu.