Kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahu membekukan siasatan yang melibatkan orang politik?
Jika benar ada cukup bukti yang menunjukkan kemungkinan jenayah rasuah telah dilakukan, maka SPRM mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat. Tidak kira orang politik, rakyat atau pemimpin.
Bantahan terhadap SPRM hanya kerana teknik dan taktiknya. Hanya kerana ada ’saksi’ yang mati di Pejabat SPRM. Taktik SPRM yang memperdayakan orang bahawa mereka hanya saksi tetapi kemudian tiba-tiba mahu menahan mereka sehingga menyebabkan kecederaan juga tidak mungkin dipersetujui. Kenapa tidak arahkan sahaja suspek menyerah diri di pejabat SPRM, mungkin dengan peguam bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.
Siapa yang membuat keputusan untuk menahan? Apakah ada waran tangkap dikeluarkan majistret? Pemisahan kuasa mesti dipertahankan. Agensi penguatkuasa tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Perlu ada timbang dan balas (check and balance) daripada cabang kehakiman.
Kenapa ada tuduhan pegawai SPRM yang menangkap saksi yang ditukar menjadi suspek tidak memperkenalkan diri? Seharusnya pegawai SPRM yang membuat tangkapan memakai pakaian seragam (uniform) dan menunjukkan kad kuasa sebelum bertindak. Pakaian biasa (preman) seharusnya hanya dipakai ketika membuat penyamaran untuk siasatan. Perlu ada prosedur operasi yang seragam dan jelas.
Tetapi kenapa sebenarnya teguran dan bantahan terhadap cara gestapo SPRM ini tiba-tiba dijadikan alasan untuk membekukan siasatan terhadap orang politik?
Apakah kerana Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan telah dituduh menerima wang RM10 juta tanpa resit dan menggunakan helikopter syarikat yang mendapat kontrak besar dalam bidang pengangkutan?
Apakah kerana Khir Toyo sudah kepanasan akibat pembinaan mahligai di Shah Alam?
Pelbagai lagi tuduhan dan kes melibatkan ratusan juta ringgit terhadap orang politik yang tidak disiasat. SPRM hanya memberi perhatian terhadap tuduhan liar GERAK dan tuduhan-tuduhan yang melibatkan RM2-3 ribu.
Jika arahan pembekuan Pengarah Siasatan SPRM ini jadi kenyataan sudah tentu OTK dan Khir Toyo yang akan menarik nafas lega.
SPRM perlu mendapatkan (earn) keyakinan dan hormat daripada rakyat. Caranya mudah, laksanakan amanah dengan tulus dan telus.