Saya marah! Sangat marah apabila membaca laporan seorang pemuda di Kelantan buta matanya ditembak gas pemedih mata oleh polis. Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, dilaporkan berpaling ke arah polis yang sedang menembak gas pemedih mata lalu mengenai mata kanannya.
Beliau kemudian dipapah ke hospital oleh sepupunya dan orang ramai untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Kenapa tidak ada anggota polis membantu beliau yang cedera?
Sebelum ini saya telah menulis Polis Ganas, ada gambar polis menembak gas pemedih mata pada aras mata, bukan ke udara. Apakah di dalam kes di Kota Bahru ini, polis juga menembak kanister gas pemedih mata pada aras mata?
Jika ke udara, kemungkinan untuk mengenai mata tentu tipis.
Polis perlu memberikan penjelasan samada memang menjadi amalan atau terdapat arahan untuk menembak gas pemedih mata pada aras mata dan tidak ke udara. Jika benar, kenapa?
Tujuan gas pemedih mata ialah untuk menyuraikan orang ramai dan melemahkan mereka dengan asap yang dikeluarkan. Ia bukan peluru getah atau peluru kapur yang disasarkan ke tubuh.
Rakyat mesti bertindak! Kita perlu bertindak menghentikan keganasan polis. Kita tidak mahu Malaysia menjadi Palestin di mana rejim Zionis sewenang-wenangnya mengganasi penduduk yang tidak bersenjata.
Jika ada kerusuhan dan kekacauan, suraikan. Jika perlu tangkap. Tidak perlu dipukul, dibelasah atau dicederakan. Apatah lagi dibutakan.
Saya sendiri pernah beberapa kali ditahan polis dalam aksi massa. Di Puchong ketika bantahan tol, 3 orang mengasari saya sedangkan saya tidak melawan. Saya katakan, “jika nak tangkap… tangkap. Tak perlu ganas”.
Ayuh! Hentikan keganasan polis!