Jika jujur mahu kerajaan campuran

March 22, 2009

Soal kerajaan campuran  semakin rancak hari demi hari. Malah di dalam PAS ia membawa kepada persoalan nakhoda dan tukang layar pula.

Pada hemat saya perbincangan mengenai kerajaan campuran ini hanya sekadar cakap-cakap politik. Oleh kerana tidak ada isu yang lebih menarik, maka pemimpin tertentu bercakap mengenainya, isu sensasi yang mampu menarik perhatian kembali kepada yang bercakap.

Jika pemimpin BN jujur mahu membentuk kerajaan campuran, tiga pilihanraya kecil yang dijadualkan tidak lama lagi adalah peluang terbaik membuktikan kesungguhan dan keseriusan.

Sebagai tanda niat baik (goodwill gesture), parti-parti yang telah memenangi kerusi-kerusi terlibat sebelum ini perlu dibenarkan menang tanpa bertanding. BN perlu menarik diri daripada bertanding di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Jika ini berlaku, keADILan juga perlu menarik diri di Batang Ai.

Ini adalah tanda bahawa ada keseriusan dan kejujuran untuk mengusahakan kerajaan campuran. Ia juga akan menyelamatkan wang yang tidak sedikit untuk mengendalikan dan kempen pilihanraya tersebut.

Namun ini semua mimpi di siang hari kan? Kerana yang mencadangkan pun untuk kepentingan politik, yang menyambutnya sudah tentu lebih kerana keuntungan jangka pendek politik.