Karpal dan pemimpin yang baik

February 9, 2009

Karpal Singh nampaknya sangat marah. Beliau mahu Anwar berhenti daripada memimpin Pakatan Rakyat dan digantikan oleh seorang pemimpin baru, pemimpin yang baik.

Seperti kata Dr. Syed Husin Ali, Timbalan Presiden keADILan, Karpal sepatutnya membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Begini sahaja Karpal. Apa kata sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, panggil sahaja sidang khas DAP untuk mengusulkan Karpal sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Kerana Karpal mendapat sokongan akar umbi DAP (rank and file, katanya), sudah tentu sidang khas parti tersebut akan bersedia membuat usul sebegitu. Sekurang-kurangnya panggil segera sidang Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP untuk membincangkan perkara yang sama.

Jika Karpal tidak mendapat sokongan majoriti CWC atau sidang khas DAP, maka sampai masanya Pengerusi Kebangsaan DAP diganti oleh seorang pemimpin lain. Seorang pemimpin yang baik.

Jika beliau tidak lagi bersetuju dengan dasar DAP, maka elok beliau kosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi atas tiket DAP bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan.


Dari mana datangnya kemuliaan dan kedaulatan?

February 7, 2009

Terdapat banyak kerajaan yang diasaskan di Tanah Melayu. Sebelum kesultanan Melaka, telah wujud kerajaan di Kedah, Kelantan dan Pahang. Kerajaan Kedah bermula dengan hebat sebagaimana dinukilkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa.

Namun kerajaan di Tanah Melayu yang dianggap paling hebat sudah tentu kesultanan Melayu Melaka.

Waris Sultan Melaka yang masih berterusan sehingga kini ialah Sultan Perak. Kesultanan Perak sekarang diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah, anakanda Sultan Mahmud yang merupakan sultan terakhir Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis. Sehingga kini waris Sultan Muzaffar memerintah negeri Perak.

Kesultanan Johor yang diasaskan oleh seorang lagi anakanda Sultan Mahmud, Sultan Alauddin Riayat Shah berakhir dengan Marhum Mangkat Dijulang yang dibunuh oleh Megat Sri Rama setelah Baginda membunuh isteri Megat yang mengandung.

Raja Muhammad, anakanda Sultan Mahmud, pula dihantar dari Melaka untuk mengasaskan kesultanan Pahang setelah beliau membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak. Sultan Mahmud menyerahkan kepada Tun Perak bagaimana untuk mengendalikan kes pembunuhan tersebut. Tun Perak tidak menuntut bunuh balas seperti diperuntukkan di bawah undang-undang Qisas. Sebaliknya Tun Perak menyatakan, “anak raja yang seorang ini tidaklah kita mahu bersultan akan dia.” Akibatnya Raja Muhammad dihantar ke Pahang.

Waris Melaka di kesultanan Pahang ini juga berakhir. Kesultanan Petani pada suatu masa mungkin mempunyai darah Melaka hasil perkahwinan Yang DiPertuan Johor dengan Raja Perempuan Patani. Tetapi kesultanan itu sudah berakhir.

Terdapat banyak kisah Raja-raja Melayu yang adil dan memerintah dengan cemerlang. Terdapat juga kisah Raja Melayu yang berlaku zalim terhadap rakyat.

Meski Raja Melayu raja berdaulat, mempunyai beberapa kebesaran dan kemuliannya, semua itu bukan kerana duli di bawah tapak cerpu Tuanku. Kemuliaan dan kebesaran itu ialah daripada pemerintahan yang baik dan peri pekerti yang mulia. Hormat dan sanjungan rakyat tentu sahaja pudar terhadap raja yang zalim.

Begitu di dalam sejarah Melayu raja yang zalim akan menghadapi akibat dan pengakhiran yang tidak baik. Raja bersiong di Kedah ditumbangkan setelah bermaharajalela. Banyak sekali contoh-contoh Raja Melayu yang sedemikian.

Betapa sekalipun kemuliaan manusia, hukum (undang-undang) tetap lebih tinggi dan yang paling tinggi ialah Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya.

Walau kita melaungkan “Daulat Tuanku!” kedaulatan hukum (undang-undang) dan pastinya kedaulatan nilai keadilan yang ditegaskan di dalam Al-Quran tetap mengatasi.

InsyaALlah ketaatan kita kepada Allah Al-Malik lebih mengatasi rasa hormat kepada Sultan.


Hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah

February 7, 2009

Jumaat 6 Februari 2009  adalah hari yang menyedihkan bagi orang Melayu dan institusi Raja-raja Melayu. Raja Muda Perak disekat di jalanraya dalam perjalanan ke Istana Iskandariah. Sultan dikritik dan tidak kurang juga ada yang mencemuh.

Kenapa orang Melayu melakukannya? Apakah kerana suka-suka atau terpaksa?

Sepanjang minggu rakyat Perak menaruh harapan kepada Paduka Seri Sultan Perak untuk mendengar rintihan mereka, merasai denyut nadi mereka.

Ternyata Baginda tidak mampu menghargai aspirasi dan harapan rakyat Perak yang mahu hak mereka memilih dan memberi mandat kepada kerajaan dipertahankan.

Paduka Seri Sultan Perak memilih untuk menyerahkan kerajaan Negeri Perak kepada BN yang bergantung harap kepada tiga orang yang dicabar status kesahihan mereka sebagai Ahli Dewan Negeri Perak.

Baginda lebih rela menyerahkan tampuk pemerintahan negeri kepada kerajaan yang tidak stabil daripada membubarkan Dewan Negeri dan memberikan hak kepada rakyat untuk mengangkat kerajaan pilihan mereka.

Cara Baginda memecat memanda Menteri Besar tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negeri Perak.

Kerana rayuan rakyat enggan didengari Paduka Seri Sultan Perak, rakyat tidak ada pilihan selain melaungkannya. Bimbang kalau-kalau Baginda ada syaitan membisik hasutan di telinga, disalap mata daripada melihat hakikat dan kebenaran.

Rakyat juga terpaksa mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Orang Melayu tidak lupa kepada adat dan adab.

Melayu kuat berpegang kepada “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah”.

Adat kita menghormati Raja. Tetapi adat itu tidak boleh mengatasi undang-undang. Undang-undang ciptaan manusia pula tidak boleh berlawanan dengan Al-Quran.

Mufti Perak juga hari ini di televisyen mengingatkan rakyat untuk taat kepada pemerintah di kalangan kamu (ulil amri min kum) hanya selagimana ia tidak bertentangan dengan perintah agama.

Rakyat percaya Paduka Seri Sultan Perak telah terkhilaf dalam membuat keputusan.

Seorang pemerintah yang adil tidak akan gentar dengan rakyat. Segala keresahan rakyat cuba diuraikan. Sebarang kekeliruan dijelaskan. Paling utama keadilan ditegakkan. Raja yang adil tidak perlu untuk berdiam di dalam istana atau menekan suara rakyat.

Paduka Seri Sultan Perak dan kerabat perlu memimpin rakyat dengan bersikap terbuka dan mendengar hujahan semua pihak secara lapang dada. Segala-galanya belum terlambat. Persepsi bahawa Baginda mengikut kehendak BN boleh dileraikan jika Baginda bersedia berbincang dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat secara tulen dan jitu.

Sekiranya Abdullah Badawi diterima mengadap berkenaan isu ADUN Pangkor yang mahu dilantik menjadi Menteri Besar, kenapa pula hasrat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kemelut politik Perak tidak dilayani?

Keadilan bukan hanya sekadar perlu dilaksanakan, ia perlu dilihat ditegakkan.

Kerana berpegang bahawa Kitabullah itu adalah sumber paling tinggi hidup, maka suruhan Kitabullah agar berlaku adil itu harus dipegang oleh rakyat. Keadilan adalah nilai paling tinggi. Kerana itu orang Melayu juga berpegang kepada “Raja adil, Raja disembah. Raja zalim, Raja disanggah”.

Sanggah di sini bukan maknanya derhaka. Apabila Raja tersilap, terlkhilaf maka rakyat mesti membuat sanggahan dengan ingatan-ingatan undang-undang (hukum) dan kitabullah kepada Raja.

Kedaulatan Raja-raja Melayu ialah daripada hormat rakyat. Maka kita mesti mempertahankan rasa hormat rakyat bagi memastikan Raja Berpelembagaan yang didukung rakyat Malaysia kekal relevan dan berdaulat dengan beberapa kebesaran dan kemuliaannya.

Daulat Tuanku!


Warkah kepada Paduka Seri Sultan Perak

February 6, 2009

Mengadap ke Majlis

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah

Paduka Seri Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah patik sembah derhaka, harap diampun Paduka yang mulia.

Patik seorang hamba rakyat di negara Malaysia, meski bukan seorang rakyat di negeri Tuanku, melihat dengan gusar dan sedih hati akan perkembangan kerajaan Tuanku.

Patik sedia faham bahawa Tuanku telah membuat keputusan Menteri Besar Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Justeru Tuanku telah memberi perkenan kepada seorang ahli Dewan Negeri Perak lain untuk membentuk kerajaan yang baru.

Tuanku membuat keputusan ini dengan menemui 31 ahli Dewan Negeri Perak. Tiada undi tidak percaya dikemukakan di dalam Dewan Negeri Perak untuk menunjukkan bahawa memanda Menteri Besar sekarang tidak lagi mendapat sokongan majoriti Dewan.

Ampun Tuanku,

Patik percaya Paduka Seri Sultan Perak adalah bijaksana.

Barang tentu sedia maklum bahawa 2 daripada 31 Ahli Dewan Negeri yang mengadap Tuanku bagi menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional itu sekarang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. Tuanku juga patik yakin sedia tahu bahawa kedudukan 3 Ahli Dewan Negeri yang keluar daripada keADILan dan DAP itu sedang dicabar di mahkamah.

Ahli-ahli Barisan Nasional di Dewan Negeri Perak hanya 28 orang. Sama jumlahnya dengan ahli-ahli daripada Pakatan Rakyat.

Justeru pembentukan kerajaan BN dengan sokongan 3 ahli bebas yang dicabar kedudukan mereka dan 2 daripadanya pula menghadapi pertuduhan jenayah sudah tentu akan menjadikan kerajaan Perak yang mahu dibentuk BN itu sangat lemah.

Ampun Tuanku,

Peranan Tuanku sebagai Payung Negeri bukan sekadar untuk menentukan jumlah dan angka seperti yang dituntut BN. Sudah barang tentu Tuanku sedia maklum akan peri pentingnya sebuah kerajaan itu stabil dan kukuh.

Kerana itu rakyat menyembahkan ke bawah Duli Tuanku agar memperkenankan pembubaran Dewan Negeri Perak dan mengembalikan kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka. Dengan cara ini kedudukan 3 ahli bebas yang dicabar itu akan dapat dipastikan.

Malah rakyat, setelah tahu kedudukan sekarang, akan dapat memberikan mandat yang jelas kepada sebuah kerajaan baru.

Ampun Tuanku,

Patik dan hamba rakyat merayu pertimbangan bijaksana Tuanku untuk memastikan kerajaan Tuanku mantap dan stabil melalui cara demokrasi pilihanraya.

Tindakan Tuanku membenarkan kerajaan baru dibentuk tanpa mandat yang jelas daripada rakyat patik percaya akan hanya menjadikan rakyat Perak dan Malaysia gundah gulana.

Bagaimana jadinya jika mahkamah menentukan bahawa 3 ahli Dewan Negeri Perak yang dicabar kedudukannya oleh Yang DiPertua Dewan Negeri itu bukan lagi wakil rakyat? Atau 2 ahli yang menghadapi tuduhan jenayah itu didapati bersalah dan hilang kelayakan?

Apakah kita akan meyaksikan satu lagi pertukaran kerajaan? Patik percaya Tuanku sedia maklum akibat pertukaran kerajaan yang kerap begini.

Sebagai Payung Negeri, Tuanku mempunyai peranan untuk menjaga kepentingan Negeri dan rakyat, tanpa tunduk kepada tuntutan pihak tertentu yang hanya mahu merebut kuasa.

Raja yang adil sudah tentu tahu akan harapan rakyatnya, sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat.

Pembubaran Dewan Negeri Perak akan mengembalikan kepada rakyat hak untuk memilih wakil. Jika takdirnya BN mendapat sokongan yang lebih meluas, maka ketika itu biar BN membentuk kerajaan. Jika rakyat mahukan kerajaan Pakatan Rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang lebih meluas. Paling penting kerajaan perlu stabil dan mantap, mendapat mandat jelas daripada rakyat.

Tidak ada sebab pihak yang mahu membentuk kerajaan takut kepada rakyat. Jika mereka takut untuk menghadapi rakyat, meminta mandat rakyat; sudah tentu mereka tidak layak membentuk kerajaan. Patik yakin Tuanku sedia maklum peri penting mandat rakyat atau consent of the governed.

Ampun Tuanku,

Patik pohon pertimbangan Tuanku yang dibuat dengan hikmah bijaksana, ilmu dan iman.

Tidak ada hinanya membuat perubahan kepada keputusan yang sudah terkhilaf. Tetapi tentu rosak kemuliaan jika mempertahankan yang salah dan silap.

Semoga Tuanku membuat keputusan sebaik-baiknya yang akan meningkatkan rasa hormat dan kasih rakyat. Patik doakan agar ALlah memberikan hidayat dan taufik kepada Tuanku, melindungi Tuanku daripada tekanan dan memelihara kemuliaan Tuanku.

Daulat Tuanku!