Pembukaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara ialah satu kemenangan kepada rakyat yang mendokong hak untuk pendidikan bahasa ibunda.
Hak yang seharusnya terjamin di dalam negara merdeka ini telah dinafikan oleh Barisan Nasional yang memaksa sekolah itu ditutup kononnya kerana masalah lokasi.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (ketika itu Barisan Alternatif) telah secara konsisten memberikan sokongan dan komitmen mempertahankan hak terhadap pendidikan bahasa ibunda. Malah Ketua Pembangkang, Almarhum Ustaz Fadzil Noor mengetuai rombongan Ahli Parlimen BA melawat sekolah tersebut.
Saya pernah diberitahu oleh Dr. Kua Kia Soong bahawa Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi pernah membuat kenyataan bahawa “semua bahasa diciptakan oleh Tuhan yang satu.” Justeru tidak ada sebab untuk sesiapa juga memusuhi bahasa ibunda mana-mana kaum.
Ini pendirian konsisten Pakatan Rakyat sedari hari pertama koalisi politik itu dibentuk.
Tetapi BN membuat keputusan menghormati hak rakyat hanya selepas 2,926 hari sekolah itu ditutup dan kegagalan memalukan BN mengekalkan cengkaman kuasa mereka. Secara tiba-tiba semua masalah sekolah tersebut hilang.
Rakyat, termasuk kaum Tionghua yang memberikan talian hayat kepada BN pada pilihanraya 1999, telah menolak dengan jelas dasar kuku besi BN yang korup dan menindas rakyat.
Justeru pembukaan semula SJKC Damansara perlu dinilai dengan sebaiknya. Apakah pembukaan ini menandakan berakhirnya dasar BN yang memusuhi hak rakyat? Apakah BN telah benar-benar berubah atau hanya sekadar melakukannya untuk cuba meraih kembali sokongan yang hilang.
Desperate times call for desperate measures.
BN kini sangat terdesak. Kerana itu apa sahaja sanggup dilakukan untuk mendapatkan sokongan rakyat. Dahulu alasan yang diberikan ialah kerana masalah lokasi, keselamatan pelajar dan sebagainya. Kini semua faktor itu diketepikan. Ternyata itu semua alasan bohong semata-mata.
Selepas ini jika BN kembali selesa dengan penguasaannya, maka sikap kuku besi, menindas dan menafikan hak rakyat yang menjadi amalan BN sejak sekian lama akan kembali.
Saya berharap rakyat, khususnya orang Tionghua di Malaysia, jangan lagi tertipu dengan BN. Rakyat perlu bertindak menyekat dan menolak penindasan BN.
Rakyat di Kuala Terengganu, termasuk pengundi keturunan Tionghua, misalnya boleh mengambil peluang pilihanraya kecil ini untuk menunjukkan bahawa mereka menolak sikap pura-pura, tidak konsisten dan menipu BN.
Pakatan Rakyat telah sekian lama konsisten mempertahankan hak rakyat dan memerangi rasuah.
Justeru, apa sebenarnya pilihan yang ada?
January 16, 2009 at 10:09 am |
My call to KT voters: