Sarawak barisan hadapan baru

December 1, 2008

Ketua Umum telah mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi barisan hadapan (frontline) baru untuk keADILan. Sasarannya ialah untuk membentuk kerajaan negeri keenam Pakatan Rakyat.

Saya sudah membicarakan mengenai “Kerajaan Negeri Ke-6 PR” pada 15 Jun lalu tatkala ura-ura ada parti akan keluar daripada BN. Saya katakan perkembangan itu jika “di Sarawak ada kemungkinan ia akan menggoncang kerajaan negeri atau InsyaALlah akan mewujudkan negeri ke 6 ditadbir Pakatan Rakyat”.

Ternyata kini Sarawak menjadi sasaran kepemimpinan utama parti.

keADILan di Sarawak ketika awal-awal ditubuhkan adalah antara yang paling handal dengan pemimpin-pemimpin berpengalaman dan malah boleh juga dikatakan selibriti politik. Datuk Hafsah Harun, bekas Menteri Sarawak; Wan Zainal, bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri dan beberapa lagi pemimpin yang cukup berpengalaman.

Angkatan Muda di Sarawak juga cukup handal.

Kini keADILan di Sarawak akan bangkit kembali. InsyaALlah bersama kita raih kejayaan.

Doakan dan ikhtiar.


Kongres dan komitmen

December 1, 2008

Alhamdulillah. Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat baru sahaja selesai diadakan. Kongres kali ini boleh dikatakan paling hebat, dengan semangat juang yang kekal tinggi dan didorong pula oleh kejayaan Pilihanraya Umum yang lalu.

Pada kongres tersebut, ada pemimpin utama parti yang menegur saya kerana dikatanya saya tidak konsisten dalam komitmen kepada parti. Mungkin kerana blog ini lama tidak dikemaskini agaknya.

Walhal sepanjang kempen pilihanraya umum yang lalu, saya bertugas setiap hari sehingga malam, di pejabat Ketua Umum. Saya juga membantu Ketua Angkatan Muda Keadilan selepas pilihanraya. Untuk kongres, saya bersama pasukan yang membantu Ketua AMK menyediakan ucapan dasar.

Sudah tentu saya tidak memainkan peranan utama untuk pemimpin-pemimpin ‘besar’ parti kerana saya tidak punya ‘kelulusan’.