Najib Razak, Timbalan Presiden UMNO sudah bersumpah. Dia tidak kenal perempuan Mongolia, Altantuya. Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Tajol Rosli juga mahu bersumpah. Dia tidak terlibat ‘mengenakan’ pemimpin Kerajaan Negeri Perak berkenaan dakwaan rasuah.
Apakah ini petanda sudah mula bertapak satu aliran atau boleh juga disebut ‘mazhab’ baru Sumpah-Sumpah? Apakah Timbalan Presiden dan Pengerusi UMNO Perak ini adalah pengikut selebriti aliran baru ini?
Sudah tentu Imam Besar mazhab ini ialah Saiful Bukhari Azlan yang bersumpah sehingga menjadi ikutan mereka ini yang bukan kecil anak kedudukan mereka di dalam parti Melayu terbesar di dunia itu. Tentu Saiful ‘mempunyai sesuatu’ sehingga mendorong pemimpin besar UMNO menjadi pengikut. Apa dia ’sesuatu’ yang mereka itu mahu saya tidak pasti.
Saya kira selepas ini mahkamah di Malaysia akan dapat mengatasi semua kes tertunggak (backlog) yang bertimbun-timbun sekarang. Suruh dan cabar sahaja kesemua tertuduh untuk bersumpah. Selepas ini kita tidak perlu lagi membayar gaji para hakim, Peguam Negara, pendakwaraya dan sebagainya. Ratusan juta atau ribuan juta ringgit yang dijimatkan boleh diberikan kepada pemilik kereta sebagai rebat tunai. Masalah kesesakan di penjara juga akan dapat diatasi. Cabar semua banduan untuk bersumpah mereka sebenarnya tidak bersalah.
Bak kata bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir, sumpah ini perkara yang berat, serius. Jadi tentu seseorang tidak akan bersumpah kalau tidak benar.
Nah! Mengikut logik ini, takkan para tertuduh dan banduan yang didakwa merogol, merasuah, membunuh dan sebagainya itu akan berani bersumpah kalau mereka tidak benar. Jika Najib kenal dengan Altantuya, takkan dia berani bersumpah di dalam masjid dia tidak kenal. Malah sumpah Najib itu disambut tepukan tangan penuh bersemangat di dalam dewan solat Masjid Guar Perahu.
Tidak lama lagi pentadbiran Islam di Malaysia perlu melantik saksi-saksi sumpah bertauliah sebagaimana jurunikah sekarang. Sesuai juga diletakkan syarat mereka perlu menjadi ahli UMNO atas sebab-sebab ‘tertentu’ terlebih dahulu sebagaimana Ramlang Porigi. Sudah tentu kefasihan untuk memperbetulkan sebutan “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” adalah keperluan utama. Mungkin kerana itu Pengarah Jawi juga dikatakan hadir menyaksikan sumpah Saiful Bukhari. Mungkin untuk memerhatikan cara Saiful bagi digubal skema latihan.
Dalam keadaan semakin ramai pemimpin UMNO mahu bersumpah elok juga UMNO mengambil ketetapan agar semua calon yang bertanding di dalam pemilihan bersumpah mereka tidak pernah terlibat dengan rasuah, merogol gadis bawah umur, tidak mengamalkan rasuah politik, menjahanamkan berbilion-bilion wang negara kerana memperjudikan dana Bank Negara di pasaran matawang dan sebagainya.
Mungkin juga Perhimpunan Agung UMNO boleh memikirkan untuk meletakkan sumpah (lebih baik sumpah laknat) sebagai syarat utama menjadi ahli. Atau tukar sahaja nama UMNO kepada Parti Sumpah Melayu. Jika dulu kita ada Parti Semangat Melayu, kenapa tidak nama Sumpah Melayu. Meneruskan nama parti Melayu terbesar di dunia sebagai United Malays National Organisation dalam Bahasa Inggeris penjajah sudah tentu tidak Melayu sifatnya.
Selari dengan kebangkitan mazhab sumpah-sumpah ini elok juga dicabar semua ahli UMNO bersumpah mereka tidak pernah dan tidak akan mengambil rasuah, menyeleweng wang rakyat…
Ya ALlah! Selamatkan umat Islam Malaysia ini daripada khurafat dan bidaah dhalalah. Selama ini Melayu-Muslim begitu akrab dengan tahyul, khurafat dan bidaah. Sekarang mereka meletakkan amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi-Mu dengan nama Islam. Mereka selewengkan rumah-Mu, masjid-masjid, untuk melakukan sumpah sambil bertepuk tangan penuh lalai. Selamatkanlah kami ya Malik.
Posted by Ahmad Zaki Yamani 

Posted by Ahmad Zaki Yamani
Posted by Ahmad Zaki Yamani