Kenapa tiba-tiba Ketua Polis Selangor dan kemudiannya Menteri Kerja Raya mengumumkan bahawa jalan hubungan Bandar Mahkota Cheras ke Lebuhraya Kajang-Cheras dibuka untuk kegunaan rakyat?
Apakah kerana polis telah membelasah setengah nyawa seorang awam, seorang anak muda, yang hadir di situ?
Saya masih tertanya-tanya siapa yang mengarahkan Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Selangor untuk memastikan jalan tersebut dibuka. Atas authority apa beliau mengarahkannya?
Bagaimana sekalipun keadilan untuk Chang Jiun Haur mesti dilaksanakan. Polis yang memukul beliau tanpa belas kasihan mesti didisiplinkan. Polis tidak lagi boleh berfikir pakaian seragam atau jawatan mereka membolehkan mereka bertindak sewenang-wenangnya. Mereka yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang, tetapi tidak bermakna mereka berada di atas undang-undang.
Sekiranya benar Chang cuba menlanggar dan mencederakan anggota polis, maka mereka yang menjadi ‘mangsa’ beliau perlu didedahkan. Setakat mana kecederaan mereka, siapa yang merawat mereka, di mana mereka dirawat mesti didedahkan.
Keseluruhan Polis DiRaja Malaysia perlu melalui proses reformasi. Ini akan membersihkannya daripada mereka yang tidak mampu menghayati erti sebenar menjadi polis. Reformasi akan menyelamatkan anggota polis yang tulen daripada buruk sangka.
Ke mana pula Ketua Polis Negara ketika masalah keganasan polis ini berlaku?