Tahniah kepada Ketua Polis Selangor

Semalam tembok penghalang jalan dari Bandar Mahkota Cheras masuk ke Lebuhraya Cheras-Kajang diruntuhkan sekali lagi. Jika sebelum ini cubaan membuka jalan tersebut mengakibatkan serangan polis sehingga mencederakan penduduk, semalam Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar dilaporkan berada di lokasi untuk memastikan penduduk dapat meruntuhkan tembok haram tersebut tanpa halangan dan gangguan polis.

Malah Khalid dilaporkan memberi amaran kepada Grand Saga agar tidak mendirikan semula tembok di situ.

Ini adalah perkembangan yang sangat menggembirakan, bukan sahaja kepada penduduk yang dinafikan hak mereka sebelum ini, tetapi kepada semua yang mempertahankan hak rakyat daripada penindasan.

Lebuhraya tersebut ialah lebuhraya terbuka. Justeru penduduk seharusnya tidak dihalang daripada menggunakan jalan masuk ke situ. Pihak berwajib malah perlu menyediakan lampu isyarat bagi memastikan aliran trafik yang selamat. Sekiranya lebuhraya itu tertutup seperti NKVE dan PLUS, maka akses kepada lebuhraya sebegini sudah tentu terhad dan perlu melalui plaza tol.

Namun saya lebih tertarik untuk mengetahui sebab yang mendorong Khalid untuk bertindak mengarahkan polis agar tidak menjadi budak suruhan Grand Saga untuk menghalang penduduk. Apakah telah berlaku perubahan sikap dan dasar di dalam Polis DiRaja Malaysia menjadikan mereka pro-rakyat dan bukan lagi suruhan parti pemerintah.

Apa sekalipun tahniah kepada Ketua Polis Selangor dan semoga ia adalah petanda kepada perubahan yang lebih besar.

One Response to “Tahniah kepada Ketua Polis Selangor”

  1. pipitart Says:

    Benarkah laporan ini? Di-quote dari mana ye? Kalau benar saya dengan suka hatinya mahu memberitahu berita gembira ini ke blog2 lain juga. Kalau betul apa yang saya baca, saya rasa ia adalah perubahan yang agak positif. Tetapi itu tidak juga akan menyelasaikan masalah penduduk BMC, apa pula kata MB Selangor dalam hal ini, takkan nak tunggu orang cedera lagi?

Leave a Reply