Kira-kira jam 4 pagi tadi, saya dikejutkan oleh panggilan telefon. Ternyata sudah beberapa kali saya cuba dihubungi. Namun oleh kerana saya hanya masuk tidur jam 2 pagi setelah selesai mesyuarat Angkatan Muda Keadilan Bahagian Shah Alam, berkali-kali panggilan diperlukan untuk saya celik.
Saya terperanjat mendengar suara Azrani bin Rustam memberitahu bahawa Rustam A. Sani telah kembali ke Rahmatullah. Saya kaku, tidak tahu apa hendak dikatakan. Saya bersiap-siap sedikit dan memandu di awal pagi dari Shah Alam menuju Bukit Lela, Gombak.
Rustam Abdullah Sani (Rustam A. Sani) dilahirkan pada 11 Ogos 1944 di Ipoh, Perak. Anak pertama daripada dua adik beradik kepada Abdullah Sani Raja Kechil atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam, seorang pemimpin besar perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.
Saya pertama kali mengenali Rustam secara dekat ketika bertugas di Berita Keadilan apabila urusan penerbitan Suara PRM digabungkan di pejabat Berita Keadilan. Rustam memiliki kemampuan intelek yang cukup tinggi. Beliau cukup handal di dalam bidang penulisan, analisa politik dan malah berbakat besar di dalam sastera. Puisi beliau telah diterbitkan oleh beberapa penerbitan termasuk antalogi Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antara kerja Rustam ketika muda ialah sebagai editor di Oxford University Press sebelum menyertai Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan ISIS. Antara sumbangan besar Rustam ialah di dalam pewujudan Unit Pusat Universiti (UPU).
Rustam juga pernah terlibat di dalam bidang perniagaan. Malah saya dan Rustam menubuhkan R Publishing Services yang mengendalikan penerbitan Suara PRM setelah dipisahkan pengurusannya daripada Berita Keadilan. Usaha itu sebenarnya bukan suatu perniagaan kerana kami sedar penjualan surat khabar parti bukan sesuatu yang menguntungkan. Akibatnya kami kerugian wang — peribadi dan juga peruntukan Parti Rakyat Malaysia.
Di dalam bidang politik Rustam adalah Timbalan Presiden (Deputy President) PRM ketika penggabungan dengan Parti Keadilan Nasional. Rustam memainkan peranan utama di dalam usaha boikot media milik BN dan juga penggubalan Manifesto Bersama Barisan Alternatif pada tahun 1999.
Saya kerap berkunjung ke rumah Rustam di Bukit Lela, Gombak membincangkan isu-isu terkini dan perkembangan semasa. Rustam mempunyai pandangan yang cukup segar dan jelas dalam menanggapi sebarang isu. Suatu kelebihan beliau, yang beliau katakan ada pada saya juga, ialah tidak terpegun atau kagum melulu terhadap tokoh-tokoh tertentu. Justeru beliau mampu memberikan pandangan yang jujur kepada sesiapa juga.
Baru petang semalam saya bercakap telefon dengan Rustam berkenaan pelancaran buku beliau yang dijadualkan pada 26 April ini di Shah Alam. Beliau mahu saya bersama membantu persiapan di Perpustakaan Negeri Selangor pada hari Jumaat sebelum majlis yang dijadualkan untuk disempurnakan oleh Anwar Ibrahim pada hari Sabtunya.
Sungguh tidak disangka, tidak sampai 12 jam selepasnya Rustam sudah tiada lagi. Beliau menghembuskan nafas terakhir dengan keadaan tenang selepas berbaring di katil ketika menghadapi sedikit kesukaran bernafas. Ketika menatap wajahnya awal pagi tadi, beliau kelihatan sangat tenang.
Perginya Rustam ialah kehilangan besar kepada negara ini.
Al-Fatihah!
Posted by Ahmad Zaki Yamani