Setinggan: Kepentingan dan hak semua mesti dilindungi

April 5, 2008

Merujuk kepada kenyataan Naib Presiden keADILan, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa seperti yang dilaporkan Malaysiakini.com bertajuk Selangor’s reprieve for squatters, saya berharap dasar (apakah telah menjadi dasar kerajaan negeri Selangor?) untuk ‘menggesa’ tuan punya tanah membayar pampasan kepada setinggan dikaji dengan sebaik-baiknya. Mereka yang tidak mematuhi gesaan ini akan dipanggil dan diberikan amaran kata beliau.

Soalan yang mudah ialah kenapa pemilik tanah persendirian perlu membayar kepada mereka yang telah menduduki tanah tersebut selama ini tanpa membayar sewa dan sebagainya?

Saya kira pemilik (atau waris pemilik) yang telah memegang hak milik tanah tersebut sebelum diduduki oleh setinggan atau peneroka bandar perlu dilindungi hak mereka. Mereka tidak boleh dipaksa membayar kepada mereka yang boleh dianggap ‘menceroboh’ harta persendirian.

Kerajaan yang seharusnya berperanan sebagai badan kebajikan yang bertanggungjawab menyediakan perumahan alternatif, pampasan dan kos untuk memindahkan mereka. Ini adalah untuk kepentingan rakyat yang memerlukan perumahan dan pada masa yang sama melindungi hak pemilik kepada harta.

Suatu perkara yang menjadi masalah ialah para peneroka bandar membuka tanah kerajaan untuk penempatan mereka. Selagimana boleh, tanah kerajaan ini seharusnya diserahkan pemilikan kepada mereka yang telah menetap di situ sejak sekian lama. Namun kerajaan di bawah BN seringkali sebelum ini menjualkan tanah kerajaan yang diduduki oleh setinggan/peneroka kepada syarikat swasta. Ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku.

Syarikat swasta yang membeli (atau mendapat) tanah kerajaan seharusnya menerima sekali masalah penempatan peneroka di situ. Mereka tahu tanah yang diperolehi mereka mempunyai masalah yang perlu diselesaikan, maka mereka harus bersedia menyelesaikannya dengan bertanggungjawab. Aparat kerajaan (termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis) tidak seharusnya diperalatkan untuk mengusir mereka.

Mereka yang telah menetap di situ selepas tempoh tertentu seharusnya dibenarkan memasukkan caveat ke atas tanah kerajaan tersebut. (Saya tidak pasti apakah caveat boleh dilakukan terhadap tanah kerajaan, atau apakah wujud geran tanah kerajaan, tetapi suatu mekanisme seumpama caveat perlu diwujudkan). Tindakan kerajaan tidak menghalang mereka meneroka tanah tersebut seharusnya menjadi petanda bahawa kerajaan bersetuju dengan tindakan penerokaan tersebut. Maka para peneroka mempunyai hak ke atas tanah tersebut dan ia tidak boleh dijual tanpa persetujuan mereka.

Apabila kerajaan memikirkan tanah tersebut perlu dimajukan, maka perumahan alternatif yang sesuai termasuk mengambilkira akses kepada pekerjaan dan pendidikan anak-anak, dan persoalan pampasan perlu diberikan secara adil sebelum tanah tersebut dijual atau dimajukan sendiri oleh kerajaan.

Saya menggesa agar ahli politik dan semua pihak melihat perkara ini dengan mengambilkira kepentingan dan hak semua pihak yang terlibat. Benar, rakyat mempunyai hak kepada rumah mampu-milik. Setiap keluarga perlu dijamin hak tersebut. Namun kerajaan perlu memikul tanggungjawab untuk menyediakannya. Syarikat yang membeli tanah yang mempunyai peneroka mesti menyelesaikan masalah tersebut dengan baik. Mungkin korporat yang mengaut keuntungan besar selama ini perlu juga prihatin terhadapnya. Tetapi memaksa pemilik tanah semuanya untuk memenuhi tanggungjawab itu adalah sesuatu yang tidak adil dan petanda kerajaan yang ada cuba lari daripada melaksanakan amanah.