Perginya Rustam kehilangan besar kepada negara

April 23, 2008

Kira-kira jam 4 pagi tadi, saya dikejutkan oleh panggilan telefon. Ternyata sudah beberapa kali saya cuba dihubungi. Namun oleh kerana saya hanya masuk tidur jam 2 pagi setelah selesai mesyuarat Angkatan Muda Keadilan Bahagian Shah Alam, berkali-kali panggilan diperlukan untuk saya celik.

Saya terperanjat mendengar suara Azrani bin Rustam memberitahu bahawa Rustam A. Sani telah kembali ke Rahmatullah. Saya kaku, tidak tahu apa hendak dikatakan. Saya bersiap-siap sedikit dan memandu di awal pagi dari Shah Alam menuju Bukit Lela, Gombak.

Rustam Abdullah Sani (Rustam A. Sani) dilahirkan pada 11 Ogos 1944 di Ipoh, Perak. Anak pertama daripada dua adik beradik kepada Abdullah Sani Raja Kechil atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam, seorang pemimpin besar perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Saya pertama kali mengenali Rustam secara dekat ketika bertugas di Berita Keadilan apabila urusan penerbitan Suara PRM digabungkan di pejabat Berita Keadilan. Rustam memiliki kemampuan intelek yang cukup tinggi. Beliau cukup handal di dalam bidang penulisan, analisa politik dan malah berbakat besar di dalam sastera. Puisi beliau telah diterbitkan oleh beberapa penerbitan termasuk antalogi Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara kerja Rustam ketika muda ialah sebagai editor di Oxford University Press sebelum menyertai Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan ISIS. Antara sumbangan besar Rustam ialah di dalam pewujudan Unit Pusat Universiti (UPU).

Rustam juga pernah terlibat di dalam bidang perniagaan. Malah saya dan Rustam menubuhkan R Publishing Services yang mengendalikan penerbitan Suara PRM setelah dipisahkan pengurusannya daripada Berita Keadilan. Usaha itu sebenarnya bukan suatu perniagaan kerana kami sedar penjualan surat khabar parti bukan sesuatu yang menguntungkan. Akibatnya kami kerugian wang — peribadi dan juga peruntukan Parti Rakyat Malaysia.

Di dalam bidang politik Rustam adalah Timbalan Presiden (Deputy President) PRM ketika penggabungan dengan Parti Keadilan Nasional. Rustam memainkan peranan utama di dalam usaha boikot media milik BN dan juga penggubalan Manifesto Bersama Barisan Alternatif pada tahun 1999.

Saya kerap berkunjung ke rumah Rustam di Bukit Lela, Gombak membincangkan isu-isu terkini dan perkembangan semasa. Rustam mempunyai pandangan yang cukup segar dan jelas dalam menanggapi sebarang isu. Suatu kelebihan beliau, yang beliau katakan ada pada saya juga, ialah tidak terpegun atau kagum melulu terhadap tokoh-tokoh tertentu. Justeru beliau mampu memberikan pandangan yang jujur kepada sesiapa juga.

Baru petang semalam saya bercakap telefon dengan Rustam berkenaan pelancaran buku beliau yang dijadualkan pada 26 April ini di Shah Alam. Beliau mahu saya bersama membantu persiapan di Perpustakaan Negeri Selangor pada hari Jumaat sebelum majlis yang dijadualkan untuk disempurnakan oleh Anwar Ibrahim pada hari Sabtunya.

Sungguh tidak disangka, tidak sampai 12 jam selepasnya Rustam sudah tiada lagi. Beliau menghembuskan nafas terakhir dengan keadaan tenang selepas berbaring di katil ketika menghadapi sedikit kesukaran bernafas. Ketika menatap wajahnya awal pagi tadi, beliau kelihatan sangat tenang.

Perginya Rustam ialah kehilangan besar kepada negara ini.

Al-Fatihah!


Saya kagum dengan Dolah

April 18, 2008

Saya tiba-tiba kagum dengan Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Saya mula kagum apabila membuat serangan tajam terhadap Dr. Mahathir. Antara kata-kata beliau yang saya kira menarik ialah pendedahan bagaimana Dr. Mahathir memberi arahan kepada media massa untuk tidak menyiarkan berita mengenai Hussein Onn ketika Dr. Mahathir baru mengambil alih kuasa.

Abdullah juga cuci tangan mengenai penggunaan ISA dengan menegaskan bahawa Dr. Mahathir yang bertanggungjawab ke atas Operasi Lalang. Namun kita jangan lupa di bawah pemerintahan Abdullah juga rakyat ditahan tanpa bicara di bawa ISA.

Abdullah terus mencuci di khalayak ramai apabila semalam mengumumkan permulaan reformasi dalam sistem kehakiman termasuk dengan membentuk suruhanjaya bagi mencadangkan nama-nama yang sesuai kepada Perdana Menteri sebelum disembahkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk lantikan di dalam sektor kehakiman.

Beliau juga mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang dipecat berikutan krisis yang melibatkan pengharaman UMNO. Ini pada hemat saya adalah satu tindakan berani untuk benar-benar meletakkan garis pemisah antara rejim Dr. Mahathir dan Abdullah meskipun Abdullah adalah sebahagian daripada rejim Dr. Mahathir sedari awal.

Namun hari ini Timbalan Abdullah, Najib Razak dalam usaha mencacatkan cubaan Abdullah itu menegaskan bahawa pembayaran itu bukan menandakan permohonan maaf kepada mereka yang dizalimi dalam krisis kehakiman tersebut.

Saya benar-benar berharap bahawa Abdullah akan menjadikan tindakan-tindakan beliau ini sebagai permulaan kepada perubahan sikap dan bukan sekadar untuk memulihkan imej dan sokongan jangka pendek.

Abdullah perlu mengubah prinsip beliau agar selari dengan nilai-nilai keadilan dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan paling atas. Jika Abdullah mampu dan bersedia berubah, saya kira rakyat khususnya pendokong Pakatan Rakyat seharunys bersedia untuk berubah sikap terhadap Abdullah juga.

Di dalam politik, banyak perkara boleh berlaku di luar jangkaan. Justeru kita harus bersedia sentiasa untuk menghadapinya.


Setinggan: Kepentingan dan hak semua mesti dilindungi

April 5, 2008

Merujuk kepada kenyataan Naib Presiden keADILan, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa seperti yang dilaporkan Malaysiakini.com bertajuk Selangor’s reprieve for squatters, saya berharap dasar (apakah telah menjadi dasar kerajaan negeri Selangor?) untuk ‘menggesa’ tuan punya tanah membayar pampasan kepada setinggan dikaji dengan sebaik-baiknya. Mereka yang tidak mematuhi gesaan ini akan dipanggil dan diberikan amaran kata beliau.

Soalan yang mudah ialah kenapa pemilik tanah persendirian perlu membayar kepada mereka yang telah menduduki tanah tersebut selama ini tanpa membayar sewa dan sebagainya?

Saya kira pemilik (atau waris pemilik) yang telah memegang hak milik tanah tersebut sebelum diduduki oleh setinggan atau peneroka bandar perlu dilindungi hak mereka. Mereka tidak boleh dipaksa membayar kepada mereka yang boleh dianggap ‘menceroboh’ harta persendirian.

Kerajaan yang seharusnya berperanan sebagai badan kebajikan yang bertanggungjawab menyediakan perumahan alternatif, pampasan dan kos untuk memindahkan mereka. Ini adalah untuk kepentingan rakyat yang memerlukan perumahan dan pada masa yang sama melindungi hak pemilik kepada harta.

Suatu perkara yang menjadi masalah ialah para peneroka bandar membuka tanah kerajaan untuk penempatan mereka. Selagimana boleh, tanah kerajaan ini seharusnya diserahkan pemilikan kepada mereka yang telah menetap di situ sejak sekian lama. Namun kerajaan di bawah BN seringkali sebelum ini menjualkan tanah kerajaan yang diduduki oleh setinggan/peneroka kepada syarikat swasta. Ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku.

Syarikat swasta yang membeli (atau mendapat) tanah kerajaan seharusnya menerima sekali masalah penempatan peneroka di situ. Mereka tahu tanah yang diperolehi mereka mempunyai masalah yang perlu diselesaikan, maka mereka harus bersedia menyelesaikannya dengan bertanggungjawab. Aparat kerajaan (termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis) tidak seharusnya diperalatkan untuk mengusir mereka.

Mereka yang telah menetap di situ selepas tempoh tertentu seharusnya dibenarkan memasukkan caveat ke atas tanah kerajaan tersebut. (Saya tidak pasti apakah caveat boleh dilakukan terhadap tanah kerajaan, atau apakah wujud geran tanah kerajaan, tetapi suatu mekanisme seumpama caveat perlu diwujudkan). Tindakan kerajaan tidak menghalang mereka meneroka tanah tersebut seharusnya menjadi petanda bahawa kerajaan bersetuju dengan tindakan penerokaan tersebut. Maka para peneroka mempunyai hak ke atas tanah tersebut dan ia tidak boleh dijual tanpa persetujuan mereka.

Apabila kerajaan memikirkan tanah tersebut perlu dimajukan, maka perumahan alternatif yang sesuai termasuk mengambilkira akses kepada pekerjaan dan pendidikan anak-anak, dan persoalan pampasan perlu diberikan secara adil sebelum tanah tersebut dijual atau dimajukan sendiri oleh kerajaan.

Saya menggesa agar ahli politik dan semua pihak melihat perkara ini dengan mengambilkira kepentingan dan hak semua pihak yang terlibat. Benar, rakyat mempunyai hak kepada rumah mampu-milik. Setiap keluarga perlu dijamin hak tersebut. Namun kerajaan perlu memikul tanggungjawab untuk menyediakannya. Syarikat yang membeli tanah yang mempunyai peneroka mesti menyelesaikan masalah tersebut dengan baik. Mungkin korporat yang mengaut keuntungan besar selama ini perlu juga prihatin terhadapnya. Tetapi memaksa pemilik tanah semuanya untuk memenuhi tanggungjawab itu adalah sesuatu yang tidak adil dan petanda kerajaan yang ada cuba lari daripada melaksanakan amanah.


Lawatan ke atas MB Perak

April 3, 2008

Siang tadi Angkatan Muda Keadilan Malaysia diketuai oleh Ketuanya, Shamsul Iskandar, telah melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak dan beberapa EXCO kerajaan Negeri Perak. Bersama di dalam lawatan itu ialah beberapa pemimpin peringkat nasional dan pemimpin-pemimpin Angkatan Muda Keadilan Perak.

Lawatan ini adalah dalam siri lawatan ke negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Pertukaran kerajaan di Perak sebenarnya masih di dalam proses transisi. Beberapa masalah peringkat awal masih perlu diatasi. Nampaknya secara sepasukan, Pakatan Rakyat di Perak akan, insyaALlah, dapat mengatasinya.

Menteri Besar dan para EXCO yang ditemui juga mengalu-alukan sokongan yang diberikan oleh Angkatan Muda Keadilan dan berharap akan dapat menjalinkan kerjasama yang baik antara kerajaan dan Angkatan Muda untuk kepentingan rakyat.

InsyaALlah, bersama kita jayakan usaha menterjemahkan harapan (rakyat dan parti) kepada kemenangan yang benar-benar bermakna. Ya! Kita boleh melakukannya.