Sampai hujung dunia, hingga akhir hayat

 Syeikh Azmi Ahmad kembali ke Rahmatullah

Syeikh Azmi

Dato’ Syeikh Azmi Ahmad kembali ke Rahmatullah pada 1 Mac 2008. Pemergian beliau begitu menyentuh rasa dan menyayat hati. Namun kerana disibukkan urusan dunia pilihanraya saya tidak sempat membuat catatan ini lebih awal.

Syeikh Azmi dilahirkan pada 10 Ogos 1943 di Perlis telah memberikan sumbangan yang amat berharga kepada negara selaku khadi, Mufti

Pulau Pinang, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan dan kemudiannya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Nasional.

Semasa bertugas sebagai wartawan di Berita Keadilan, saya antara lain ditugaskan untuk menjadi jurutulis kepada Syeikh Azmi khususnya untuk kolum tetap beliau selain beberapa kenyataan akhbar. Syeikh Azmi akan memberikan isi utama secara lisan dan saya akan menulis sebelum disemak untuk diluluskan beliau. Syeikh Azmi ialah seorang yang amat fasih dan faqih bukan sahaja di dalam ilmu hukum malah cukup handal di dalam bidang politik, pentadbiran negara dan sebagainya.

Beliau adalah seorang yang sangat progresif dan terkehadapan pemikirannya. Ketika penggerak-penggerak Islam, khususnya daripada PAS, memberikan tumpuan khusus kepada usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam, terutamanya Hudud, di negara ini; Syeikh Azmi membuat kenyataan berani bahawa itu bukan keutamaan. Beliau menegaskan bahawa yang lebih utama, pada pandangan Islam, ialah untuk memelihara kebajikan rakyat khususnya menjamin tahap kesihatan, pendidikan, perumahan yang baik.

Kini PAS sendiri akur dengan pandangan beliau tersebut apabila kempen pilihanraya 2008 menyaksikan PAS memberi keutamaan kepada Negara Berkebajikan.

Syeikh Azmi ialah seorang sahabat yang cukup setia kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kerana itu entri ini saya berikan tajuk Sampai hujung dunia, hingga akhir hayat. Sebagai seorang alim Syeikh Azmi sudah pasti tidak mengikat kesetiaan tersebut secara membuta tuli. Seringkali beliau katakan, “Dalam hal syara’, Anwar kena ikut ana (saya). Dalam hal politik, ana ikut Anwar.”

Saya pernah bertanya kepada beliau bagaimana beliau boleh membuat keputusan berani untuk terlibat secara aktif di dalam politik. Beliau menjawab bahawa seorang wakil menyampaikan pesan Anwar untuk beliau terlibat aktif dalam politik. Beliau terus memberi notis 24 jam meletakkan jawatan.

Akibatnya Syeikh Azmi kehilangan gaji Ketua Hakim Syarie’ sebanyak RM12 ribu sebulan dan pencen beliau hanya RM1 ribu kerana jawatan tetap terakhir beliau adalah sebagai Khadi Kedah dan jawatan-jawatan berikutnya adalah jawatan kontrak. Selain gaji, Syeikh Azmi juga kehilangan kemudahan-kemudahan lain seperti kereta dan pemandu.

Teman-teman yang mengikut Syeikh Azmi berkempen seringkali merungut kerana meskipun mereka hanya kembali ke bilik untuk melelapkan mata sekitar jam 1-2 pagi, Syeikh Azmi akan bangun seawal 4 pagi untuk solat dan berzikir. Selepas subuh, semua orang tidak dapat tidur semula kerana Syeikh Azmi akan meneruskan dengan Ma’thurat. Rungutan mereka ialah bagaiman Syeikh Azmi mampu terus bertenaga sedangkan mereka yang lebih muda sudah kelelahan.

Begitu gigih seorang yang sudah agak berumur hasil kekuatan dalaman akibat iman dan kepercayaan beliau.

Selepas tidak lagi memegang jawatan politik dan kembalinya ke rahmatullah isteri beliau, Syeikh Azmi banyak menghabiskan masa di Kulim, Kedah. Kesihatan beliau juga sudah sangat merosot ketika itu. Namun itu tidak bermakna beliau hanya berehat di rumah. Syeikh Azmi mengadakan kelas untuk pegawai-pegawai Syariah yang mahu mendalami ilmu di Masjid Kulim. Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan untuk menyampaikan khutbah atau kuliah secara rasmi di Masjid tersebut.

Saya dihantar oleh seorang pemimpin utama parti menjelang pilihanraya 2004 untuk mendapatkan kepastian apakah Syeikh Azmi berhasrat menjadi calon. Beliau keberatan tetapi keputusan akhirnya (setelah beliau paksa saya ikuti kelas bersama pegawai syariah) ialah jika parti putuskan beliau bertanding, beliau akan akur.

Syeikh Azmi setia sehingga akhir hayat. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang sangat besar bagi negara ini dan umat Islam sedunia. Semoga roh beliau mendapat redha ALlah dan beliau kembali menemui al-Khaliq dengan redha.

Al Fatihah!

2 Responses to “Sampai hujung dunia, hingga akhir hayat”

  1. sumaiyah Says:

    Salam,
    Tulisan abang Zaki tentang Pak Sheikh Azmi amat menyentuh hati tambahan lagi di saat pakatan BA menuju ke puncak …

    Terkenang zaman membantu arwah di Bandar Baru, Kulim..bagaimana merendah dirinya beliau dengan pengndi-pengundi..

    Moga perjuangannya menjadi amal jariah dan diberkati usahanya dalam mencaturkan Negara Kebajikan…
    Teruskan…perjuangan..
    Wassalam

  2. Vet Says:

    Innalillah hiwainna hirajiiun. Al-fatihah untuk Allahyarham…muga-muga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..dan semuga segala amal jariah nya merhamati beliau semasa di alam barzah…amin.

Leave a Reply