Rakyat mesti menentang dasar pecah dan perintah

December 13, 2007

Di kala ISA sekali lagi digunakan, saya merayu rakyat Malaysia semuanya agar jangan terpedaya dengan dasar pecah dan perintah yang cuba dilaksanakan oleh Barisan Nasional. Walaupun BN, khususnya UMNO, sedang berusaha keras untuk mewujudkan permusuhan antara orang Melayu dan masyarakat India yang cuba dilabelkan pengganas dan pelampau, ia tidak seharusnya menjadi asas untuk sesiapa juga menyokong penggunaan ISA.

ISA itu adalah satu undang-undang haram yang tidak dapat dipertahankan oleh sesiapa jua. Malah adalah menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk menentang undang-undang zalim yang haram itu.

Setiap rakyat Malaysia perlu membuat pendirian tegas menolak penahanan tanpa bicara yang membelakangkan proses undang-undang dan perbicaraan.

Bersatulah rakyat demi Malaysia! 


Hadhari longkang

December 13, 2007

Tindakan rejim Abdullah Badawi menahan 5 individu hari ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah petanda jelas pemerintah sangat terdesak. Pemerintah telah gagal untuk berkomunikasi dengan rakyat yang semakin tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbirannya.

Lantas kerajaan yang terpasung ini bertindak melabelkan kumpulan-kumpulan pro-rakyat yang menzahirkan rasa marah dan tidak puas hati rakyat Malaysia ini dengan pelbagai label. Ada yang dilabelkan sebagai mempunyai hubungan dengan pengganas dan sebahagian yang lain pula dituduh melakukan segala-galanya hanya kerana kepentingan sempit politik.

Ini membayangkan betapa sempit pemikiran dan betapa kecil jiwa pemimpin BN yang enggan berkomunikasi dengan rakyat, tidak sezaman dengan perkembangan rakyat dan negara dan tidak mampu melihat lebih luas akan kepentingan negara secara menyeluruh.

Ini kerajaan terpasung (under siege) yang terperangkap dengan ilusi mereka. Ini jelas dengan tindakan salah seorang menterinya yang bodoh yang hanya jalan berlalu ketika melihat seorang bekas Ahli Parlimen diperlakukan dengan tidak sewajarnya oleh polis yang menimbulkan huru-hara di pintu masuk Parlimen.

Tidak terdetik di dalam hatinya tindakan itu mencemarkan kemuliaan Parlimen. Mungkin kerana dia sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk mengenali dan menghargai nilai kemuliaan.

Kerajaan perlu segera menghentikan tindakan-tindakan di bawah paras minimum kemampuan berfikir ini dan memulakan dialog meluas dengan rakyat dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi negara. Alternatifnya Abdullah perlu segera membubarkan Parlimen dan mengembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan dan memberi mandat baru.

Manusia bertamadun seharusnya mampu berdialog dan berkomunikasi dengan baik dan tenang. Manusia yang memilih untuk memukul dan menangkap pihak lain sebenarnya adalah penghuni rimba yang tidak mengenal tamadun.

Penggunaan ISA ini juga memberi petanda jelas bahawa BN tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa 5 orang tersebut di mahkamah. Walaupun Gani Patail sendiri yang mengetuai pendakwaan di peringkat Mahkamah Sesyen, nampaknya mereka tidak yakin boleh menang. Lantas undang-undang rimba tanpa perbicaraan dan peluang membela diri digunakan.

Inikah Hadhari, Abdullah? Hadhari longkang!


Mahkamah disalahguna untuk menegakkan undang-undang rimba

December 12, 2007

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang telah mengambil tindakan mahkamah mencabar tindakan tidak masuk akal polis dan mahkamah memberikan perintah sebelah pihak menghalang orang ramai daripada berada di tempat-tempat tertentu mengikut sesuka hati mereka. Perintah itu sebelah pihak dan bergantung semata-mata kepada afidavit polis tanpa ada ruang atau peluang untuk pihak yang dikenakan perintah itu bersuara.

Penyalahgunaan proses mahkamah sebegini hanya sekadar menegakkan undang-undang rimba. Ketua Polis Sentul seharusnya ditukarkan untuk menjadi Ketua Polis di Taman Negara atau Pedalaman Sabah dan Sarawak atau mana-mana pulau yang tidak ada penghuni.

Penggunaan perintah mahkamah itu untuk menangkap individu yang memasuki kawasan Parlimen atas jemputan Ahli Parlimen sama sekali tidak masuk akal sedangkan mereka sendiri tidak tahu wujud perintah itu terhadap mereka. Apakah setiap dan semua individu terlibat telah diserahkan (serve) perintah itu.

Di dalam rakaman Tian Chua dengan jelas meminta agar perintah itu ditunjukkan. Tetapi ini tidak dipedulikan oleh polis yang mengheret beliau keluar daripada kereta.

Saya amat kesal sekali melihat rakaman video bagaimana Mustafa Ali ditangkap di tangga masuk ke Parlimen seolah-olah beliau adalah penjenayah besar yang cuba melakukan keganasan. Pada masa yang sama Hishamudin Hussein melalui kawasan itu dengan muka selamba tanpa peduli kepada tindakan polis mencemarkan kemuliaan Parlimen.

Barang perlu diingat Mustafa adalah Ahli Parlimen seawal tahun 70an dan malah menjadi Timbalan Menteri; di dalam kerajaan Perpaduan yang dipimpin Tun Abdul Razak. Beliau adalah pemimpin negara ini yang telah banyak berjasa termasuk dalam menstabilkan suasana negara selepas Peristiwa 13 Mei dengan menyertai Kabinet Perpaduan!

Kesemua mereka yang datang ke Parlimen sekadar mahu masuk menemui wakil rakyat dan menyerahkan memorandum mereka. Mereka tidak berhimpun sekalipun. Bukankah menemui wakil rakyat adalah hak asasi rakyat negara ini?

Malah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditangkap ketika beliau berjalan ke keretanya untuk beredar setelah memberikan makluman kepada wartawan yang menunggu bahawa nampaknya hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat tidak dapat diteruskan.

Tindakan polis menimbulkan kekacauan di dalam kawasan Parlimen mencemarkan kemuliaan institusi tersebut. Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira parti seharusnya menyatakan pendirian tegas menolak keganasan polis tersebut dan mengambil ketetapan agar polis tidak lagi mengulangi tindakan mencemarkan kemuliaan dan nama baik parlimen!


Menindas dan mengaibkan rakyat, petanda kerajaan Abdullah akan tumbang

December 11, 2007

Kebangkitan rakyat kebelakangan ini telah menjadikan rejim Abdullah Badawi semakin terdesak.

Malah pihak polis terpaksa bertindak kreatif dengan mendapatkan perintah mahkamah menghalang orang-orang tertentu daripada hadir di lokasi tertentu melalui permohonan ex-parte (sebelah pihak). Seterusnya perintah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menangkap sesiapa juga yang dikehendaki mereka.

Ini adalah satu perbuatan yang sangat terkutuk untuk menyelamatkan diri sendiri yang ternyata sudah tidak mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Abdullah tahu keadaan ini dan terpaksa bertindak menekan dan menindas rakyat.

Kita akan mengkaji tindakan polis memperalatkan sistem mahkamah dengan membuat afidavit sebelah pihak tanpa ada peluang untuk mahkamah mendengar keterangan pihak yang satu lagi. Bagaimana pula polis boleh menggunakan secara sewenang-wenangnya perintah mahkamah terhadap individu tertentu untuk menangkap mereka lain yang tidak dinamakan di dalamnya.

Tindakan memperalatkan proses mahkamah ini akan dicabar!

Integriti dan kebebasan Parlimen juga dicabar apabila polis mengabaikan penerangan Ahli-Ahli Parlimen bahawa individu yang dihalang daripada memasuki Parlimen adalah tetamu Ahli Parlimen.

Musa Hassan dan polis jangan bertindak tolol dan memperbodohkan diri sendiri dengan mengambil tindakan-tindakan di luar kewarasan ini semata-mata untuk memuaskan nafsu politik dan memelihara kepentingan seorang Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah sampai ke penghujung jalan.

Penggunaan undang-undang lama oleh polis ini sama seperti tindakan ITM terhadap saya dan rakan-rakan pada tahun 1998 apabila kami secara terbuka memakai riben putih sebagai tanda sokongan kepada gerakan Reformasi. Pentadbiran ITM telah mengeluarkan undang-undang lama zaman Perang Dunia Kedua untuk menghalang kami, yakni yang melarang pemakaian Swastika (lambang Nazi). Ia diperluaskan untuk meliputi semua lambang atau tanda.

Pihak Imigresen mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan atas sebab apa Anwar Ibrahim disenaraihitamkan sehingga ditahan di KLIA? Apakah Imigresen hanya sekadar menjadi alat untuk mengganggu (harass) beliau. Jika benar beliau disenaraihitamkan, rakyat punya hak untuk tahu sebabnya.

Jika kerajaan Abdullah gemar kepada undang-undang lama, barang perlu beliau diingat akan asas kerajaan Melayu, yakni tanggungjawab pemerintah kepada rakyat. Paling utama ialah keadilan. Jika rakyat ada bersalah dihukum dengan adil tetapi jangan diaibkan.

Tindakan menangkap rakyat, yang hanya menuntut hak dan mahukan kebaikan, dan membelasah mereka di khalayak ramai, tanpa ada sebab musabab yang adil — tambahan pula di kalangan pemimpin dan orang bergelar yang telah banyak berjasa kepada negara — hanya sekadar mahu menindas dan mengaibkan.

Maka tunggulah hukum Tuhan dan hukum alam (sunnatulLah): pemerintah itu pasti tumbang.


Sime Darby: Berapa juta Nazir dan kawan-kawan dapat?

December 3, 2007

Kenapa penggabungan Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope dikendalikan oleh pihak luar, Synergy Drive yang diketuai oleh Nazir Razak dan bukan oleh sesama mereka sendiri atau oleh pemegang saham utama, Permodalan Nasional Berhad?

Akhirnya penggabungan ketiga-tiga entiti perladangan ini dinamakan Sime Darby. Kelihatannya seperti Sime Darby mengambil alih 2 entiti lain itu sahaja.

Sekalipun jika perlu dikendalikan oleh pihak ketiga, seharusnya PNB yang menguruskannya dan meraih keuntungan beratus juta hasil daripada urusan tersebut.

Namun semuanya telah berlalu. Cuma sekarang pihak yang terlibat perlu mendedahkan kepada rakyat berapa juta yuran atau fi yang telah dibayar kepada promoter penggabungan ini yang diketuai oleh Nazir Razak, adik kepada Timbalan Perdana Menteri Najib Razak.

Rakyat mempunyai hak untuk mengetahuinya kerana ini bukan sekadar satu urusan perniagaan biasa. Ia melibatkan kepentingan rakyat. Bagi berjuta-juta pelabur PNB melalui saham-saham amanah ini bermakna kehilangan peluang keuntungan berjuta-juta ringgit atau malah pengurangan keuntungan kepada mereka.

Ini kerana keuntungan ketiga-tiga syarikat akan terjejas apabila menanggung caj dan fi yang dikenakan itu, sekaligus mengurangkan keuntungan kepada PNB dan seterusnya kepada pemegang saham amanah yang dikendalikan oleh PNB.