Polis ganas

November 26, 2007

Kecederaan yang dialami oleh anggota polis semasa perhimpunan aman di Jalan Ampang pada 25 November lalu adalah sesuatu yang sangat malang. Malang kerana polis Malaysia, seperti di dalam perhimpunan-perhimpunan aman rakyat sebelum ini, bertindak ganas menyerang dan memulakan provokasi sehingga menyebabkan kejadian menjadi kelam kabut.

Di dalam kejadian terbaru ini apabila ada anggota polis tercedera, saya percaya ada kemungkinan mereka yang berpakaian awam atau preman dipukul oleh anggota polis sendiri yang tidak mengenali mereka adalah anggota polis. Ini berlaku ketika perhimpunan BERSIH pada 10 November lalu di Masjid Jamek. Jurugambar polis daripada IPK Kuala Lumpur hampir-hampir dibelasah oleh pihak polis sendiri. Beliau dapat mengelakkan kecederaan dengan mengeluarkan kad kuasa.

Polis menembakMalah kini menjadi amalan polis untuk menembak gas pemedih mata pada aras mata dan bukan lagi ke udara. Ini adalah satu amalan yang sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius. Malah sebelum ini telah ada yang cedera ditembak dengan kanister gas pemedih mata ini.

Justeru saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang sering mengganasi peserta perhimpunan aman. Sekiranya diuruskan dengan baik dan dikawal perjalanan trafik, dibenarkan menyerahkan memorandum mereka; keadaan tidak akan menjadi kacau bilau.

Apakah polis menghalang, memukul dan mengejar orang ramai hanya semata-mata untuk menjadikan kenyataan fatwa pemimpin BN bahawa tidak ada demonstrasi yang berakhir dengan aman. Jika dikejar, dipukul, disembur air kimia, ditembak gas pemedih mata sudah tentu keadaan menjadi kucar-kacir.

Saya kira selepas ini rakyat mungkin terpaksa mengadakan perhimpunan sejuta rakyat bagi membantah keganasan polis ini!


Hujan lebat dan Lautan Kuning di Kuala Lumpur

November 11, 2007

Jumlah pelawat ke blog saya ini tiba-tiba meningkat semalam. Mungkin mencari berita mengenai Perhimpunan Bersih.

Saya berehat semalaman. Keletihan berkejaran dan disembur gas pemedih mata serta air asid. Saya baca banyak laporan sekadar menyebut ‘water cannon’. Konotasinya seolah-olah yang disembur ialah air biasa dengan tekanan tinggi untuk mengundurkan orang ramai. Mereka yang pernah hadir di dalam perhimpunan aman rakyat sudah pasti tahu bahawa air yang disembur ialah sebenarnya asid yang memedihkan dan merengsakan kulit, menyebabkan kesukaran bernafas dan melihat.

Timbalan Bendahari keADILan, Tengku Maraziah kehairanan apabila saya memberitahu lewat SMS bahawa kami baru lepas berentap di Masjid Jame’. Beliau yang berjalan ke Istana Negara dari Masjid Negara tidak mengalami sebarang serangan.

Kumpulan yang berkumpul di sekitar Masjid Jame’ diserang dengan air asid, pemedih mata dan serbuan baton oleh FRU. Tanpa provokasi mereka menyerang. Dalam keadaan kecoh ini, hujan turun dengan lebat, membasuh segala air asid yang mereka semburkan; memberi kelegaan kepada massa.

Akibat diserang, rakyat terpisah dengan sebahagian besar berundur ke dalam kawasan Masjid Jame’. Beberapa cubaan dilakukan untuk mereka bergerak keluar daripada kawasan Masjid dengan sokongan daripada khalayak yang berundur dan berlindung di sekitar Jalan Melaka.

Sebaik mereka muncul daripada pintu pagar Masjid Jame’, mereka disembur dan terpaksa lagi berundur. Akhirnya mereka dalam keluar melalui jalan di sebelah bangunan mahkamah majistret lama. Laluan OKT biasanya dibawa ke mahkamah. Di situ bergabung semula dengan kalangan yang di luar.

Dr. Hatta Ramli dan saya bersama para petugas mengawal rakyat yang berhimpun dan berunding dengan pihak FRU, sebaik sahaja selesai berunding tembakan asid dilepaskan ke atas kami. Bertempiaran rakyat melarikan diri kerana kesakitan.

Sekali lagi sebahagian besar rakyat terpaksa berundur ke dalam kawasan Masjid sementara yang lain di sekitar Jalan Melaka dan Jalan Tun Perak. FRU mengadakan sekatan di pintu pagar Masjid dan malah masuk ke dalam kawasan Masjid dan di tengah Jalan Tun Perak untuk menghalang orang ramai berhimpun.

Beberapa lama keadaan ini berterusan. Ada teman yang mengajak bergerak ke Istana Negara kerana pemimpin sudah bergerak ke sana. Saya tegas nyatakan bahawa selagi orang ramai yang terkurung di dalam kawasan Masjid Jame’ tidak dapat keluar, kita tidak boleh bergerak. Saya bimbang jika jumlah massa berkurangan, polis akan menyerbu masuk ke Masjid dan membuat tangkapan.

Kami menunggu sehingga akhirnya polis membenarkan orang ramai yang di dalam Masjid keluar. Kami berjalan ke arah Pasar Seni dan seterusnya ke Dayabumi. Ada antara kami berkaki ayam kerana selipar yang dipakai terlucut ketika digempur polis. Di Dayabumi tiba tiba kedengaran laungan-laungan pro rakyat daripada Jalan Kinabalu di atas. Rupanya sebarisan panjang rakyat sedang berarak. Dari SOGO mungkin.

Kami bergabung, terus berjalan ke Kampung Attap untuk ke Istana Negara. Sampai di Kampung Attap berita diterima bahawa memorandum telah diserahkan. Orang ramai terus bergerak balik menuju ke Masjid Negara. Saya melintas jalan menuju ke arah Stesen Keretapi lama. Sampai di sana, kelihatan rakyat sedang bergerak turun daripada Lebuhraya Mahameru berdekatan Mahkamah Syariah ke arah Masjid Negara.

SubhanaLlah! Maha suci ALlah, Tuhan yang memelihara hamba-hambaNya. Selautan kuning manusia kelihatan membanjiri Lebuhraya dan jalanraya di bawahnya. Di hadapan Stesen Keretapi ada orang masih sempat berniaga. Menjual kemeja-t kuning BERSIH.

Sampai di Masjid Negara, orang ramai tidak ada haluan mahu ke mana. Akhirnya ramai yang bergerak terus mencari jalan pulang. Ini yang diakui secara jujur oleh seorang pegawai kanan Polis di televisyen semalam, “selepas menyerahkan memorandum mereka bersurai secara aman.”

Kenyataan ini sekaligus menyanggah kenyataan Abdullah Badawi bahawa, “Mana ada perhimpunan yang berakhir dengan aman.”

Sekiranya polis tidak menyerang orang ramai, saya percaya tidak ada sesiapa akan cedera. Begitu juga wang rakyat tidak perlu dibazirkan untuk membeli asid/bahan kimia, gas pemedih mata dan sebagainya.

Saya berjalan ke Stesen Keretapi untuk menaiki komuter. Di situ saya terbukti betapa rakyat yang datang adalah daripada seluruh negara. Ramai yang terpinga-pinga ketika hendak menggunakan komuter. Saya sempat bersembang dengan seorang pakcik dari Kedah. Kata beliau, mereka tiba pada paginya menaiki keretapi. Keretapi dari Kedah pada malamnya disewa semuanya oleh rakyat yang datang khusus untuk Perhimpunan BERSIH. Pakcik itu pulang pada malam itu juga bersama rombongan, meski tidak sempat menziarahi rumah anaknya di Wangsa Maju.

Dalam perjalanan pulang dalam keadaan basah kuyup di dalam komuter saya terfikir, “Apakah BN gentar dengan kebanjiran rakyat ini?”. Saya membuat kesimpulan sendiri, “TIDAK”.

Kenapa? Tanya saya. Entri ini sudah terlalu panjang.


AMARAN!

November 9, 2007

Amaran mengenai perhimpunan rakyat 10 November 2007.

Abdullah Badawi diberi amaran jangan mencabar rakyat. Walaupun dia sudah mengumumkan bahawa dia pantang dicabar, Dolah perlu tahu bahawa hanya orang pendek akal seperti beliau berani mencabar rakyat.

Akhirnya Abdullah yang akan kecundang dan dibungkam rakyat.

AYUH! Kita laungkan suara keramat rakyat.


Syukur

November 1, 2007

Syukur Alhamdulillah!

Hari ini ada dua berita gembira.

Pertama, ‘usaha gigih’ Peguam Negara untuk mensabitkan Azmin Ali dengan tuduhan memberi keterangan palsu akhirnya menemui jalan mati. Semoga dengan bolehnya Azmin bertanding dalam pilihanraya akan datang akan mencerahkan lagi peluang keADILan menambah kerusi.

Kedua, Ahmad Fairuz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara. Ini adalah satu tindakan wajar memandangkan skandal yang dikaitkan dengan beliau dan tindakan beliau hanya membisu mengenainya. Sekadar menteri yang tidak ada jabatan membuat penafian bagi pihak.

Semoga ini menjadi landasan bertolak usaha pemulihan imej dan integriti bidang kehakiman Malaysia. Ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan keadilan di Malaysia. Mahkamah yang tidak diyakini dan dipercayai rakyat lebih baik tidak wujud sama sekali.

Ayuh rakyat! Terus mendesak dan menuntut hak demi menyelamatkan negara tercinta.