Pemimpin BN tidak peduli undang-undang dan rakyat

October 31, 2007

Kerajaan BN semakin tidak mempedulikan undang-undang. Mereka melakukan sesuatu bukan kerana itu perkara yang sewajarnya untuk dilakukan, itu perkara yang baik dan benar. Mereka melakukan apa sahaja hanya kerana mereka berkuasa, hanya kerana apabila mereka melakukan sesuatu tidak ada sesiapa yang boleh menghalang. Mereka bersikap tidak peduli kepada undang-undang, nilai dan perasaan rakyat.

Kerana itu jutaan ringgit dibazirkan untuk bermegah-megah atau prestij sedangkan rakyat hidup kesempitan. Begitu juga tindakan mereka menubuhkan Panel untuk menyiasat video klip Lingam. Sivarasa, Naib Presiden keADILan mendedahkan bahawa tindakan BPR dan Peguam Negara memberikan maklumat siasatan mereka kepada panel itu menyalahi undang-undang.

Kenapa begitu sukar untuk pemimpin BN patuh kepada undang-undang dan bertindak di dalam batasan dan lunas undang-undang. Perdana Menteri seharusnya mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja atau Tribunal untuk menyiasat skandal kehakiman ini mengikut peruntukan undang-undang.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri bukan sekadar tidak peduli dengan undang-undang malah perasaan rakyat yang memandang berat skandal kehakiman ini dengan cuba mendesak agar tempoh perkhidmatan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan.

Kenapa? Sekadar untuk membuktikan dia ada kuasa dan pergi jahanam dengan rakyat?


Jangan pula gadis Rusia dibom

October 24, 2007

Najib Razak melawat Moscow dan kemudiannya terus ke Paris.

Moscow ialah ibu negara Rusia. Rusia adalah bersempadanan dengan Mongolia. Altantuya dikatakan pernah makan malam di Paris bersama kenamaan Malaysia.

Harap-harapnya selepas ini jangan pula gadis Rusia diletupkan.


Kita ada wang – Abdullah

October 24, 2007

Malaysia akan meneroka dengan lebih luas bidang aero-angkasa, kata Abdullah Badawi, kerana kita ada wang. Abdullah benar-benar cuba menyakinkan rakyat bahawa kita mempunyai wang. Beliau tidak cuba menggunakan hujah betapa penting bidang aero-angkasa untuk masa depan Malaysia.

Alasan yang sering digunakan sekadar untuk prestij. Supaya Malaysia setanding dengan negara-negara maju, kata mereka. Justeru jika negara dibiarkan terus diperintah oleh orang-orang begini, Malaysia tidak mungkin menjadi negara maju. Malaysia akan hanya mempunyai lambang dan simptom atau petanda-petanda negara maju, tanpa mengecapi kemajuan itu secara sebenar-benarnya.

Dan sudah tentu kemajuan negara tidak dikecapi dan dinikmati dengan adil oleh rakyat sehingga ke peringkat paling bawah.

Pada masa yang sama, Abdullah juga bertegas bahawa tidak ada bonus akan diberikan kepada kakitangan kerajaan. Para menteri juga sering mengeluh mengenai beban negara untuk menampung subsidi petrol. Kenapa mesti keluh kesah dengan beban kewangan yang memberi manfaat kepada rakyat terbanyak dan bersuka ria dengan projek dan belanja yang tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat?

Saya kira kerajaan perlu menyusun kembali keutamaan yang sepatutnya. Mengirim penumpang angkasa atau pelancong angkasa adalah hobi golongan kaya dan mewah seperti negara-negara Arab pengeluar petroleum dan sebagainya.

Malaysia bukan negara kaya. Kerana itu masih banyak jalanraya dan prasarana yang berada di dalam keadaan yang sangat buruk. Kerana itu masih ramai rakyat yang terpaksa merayu dan merintih meminta bantuan termasuk melalui televisyen dan sebagainya.

Baik juga para pemimpin UMNO-BN ini membaca dan mentelaah kitab Ulama’ Agung Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, “Fiqh Keutamaan”.

Jika sesebuah syarikat mempunyai lebihan tunai yang banyak, maka tindakan sewajarnya ialah memberikan dividen kepada pemegang kepentingan — samada pemegang saham, kakitangan dan sebagainya.

Oleh kerana Malaysia sekarang sedang kaya, sedang duduk di atas timbunan tunai yang terlalu besar dan pemimpin tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengannya sehingga terpaksa menggalakkan pelancongan ke angkasa menggunakan wang rakyat, maka ia seharusnya dikembalikan kepada rakyat samada melalui bonus kepada kakitangan kerajaan dan pembayaran khas kepada kakitangan swasta atau apa-apa cara lain yang akan membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya menjelang hujung tahun apabila perbelanjaan rakyat meningkat dengan ketara.

Jika kerajaan ini jujur dan bertanggungjawab, mereka juga perlu membuat pendedahan mengenai lebihan/timbunan wang yang terlalu banyak itu. Rakyat yang merupakan pemegang kepentingan berhak tahu!


Eid Mubarak

October 20, 2007

Selamat Hari Raya Eid ul Fitri kepada semua!