Brave One si penembak berani

The Brave One

The Brave One adalah filem yang sangat-sangat releven dengan suasana Malaysia mutakhir ini. Erica Bain bukan seorang yang sukakan keganasan. Erica, meski hidup di dalam suasana yang sarat dengan keganasan tidak menjadikannya sebagai amalan.

Namun apabila melihat tunangnya dibunuh oleh penjenayah di depan mata dan pihak polis terus gagal bertindak dengan berkesan, Erica mengambil keputusan untuk membawa pistol. Erica mengambil keputusan untuk menjaga keselamatan dirinya tanpa mengharap kepada sistem yang pincang.

Apabila penjenayah menyerang lagi, Erica menembak untuk mempertahankan diri. Kemudian Erica terus bertindak memburu dan membunuh penjenayah.

Ironinya, pihak polis menjadi sangat cekap dan efisien dalam mengesan vigilante yang membunuh penjenayah sedangkan selama ini mereka tidak mampu bertindak melindungi keselamatan rakyat daripada penjenayah.

Apakah negara kita akan menjadi seperti ini — di mana polis tidak lagi dapat diharapkan untuk menjaga keselamatan rakyat, sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan kelompok tertentu?

Saya doakan agar kita tidak menjadi masyarakat yang terpaksa hidup di luar norma kehidupan dan undang-undang.

Tetapi sekiranya polis terus bertindak seperti sekarang — memeras rakyat, menindas pelancong dan mengambil ‘pau’ daripada pemandu — dengan mengabaikan tugas hakiki mereka memelihara keselamatan rakyat, maka kita tidak punya banyak pilihan selain mempertahankan diri sendiri.

Saya punya keyakinan dan rasa hormat yang tinggi kepada anggota polis. Malah keluarga saya sendiri ada yang berkhidmat sebagai anggota dan pegawai polis. Namun seseorang seperti Musa Hassan sebenarnya hanya mendatangkan malu kepada Polis DiRaja Malaysia dan setiap anggota dan pegawai PDRM.

Saya kira negara, khususnya kepemimpinan negara, harus mengambil tindakan berani dan bertanggungjawab memulihkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis dan kemampuan negara untuk menjaga keselamatan rakyat.

Bertindak segera sebelum rakyat terpaksa bertindak! 

Leave a Reply