September 28, 2007
Air mata saya menitis semalam apabila televisyen menyiarkan mengenai serangan ganas pemerintah Burma terhadap sami Buddha yang mengetuai bantahan terhadap pemerintahan junta tentera.
Golongan agamawan, tidak kira apa agama, seringkali menjadi barisan hadapan di dalam kesedaran rakyat menuntut hak dan kebebasan. Ini kerana mereka mempunyai tahap kesedaran yang lebih.
Serangan terhadap rakyat di Burma mengingatkan saya kepada serangan ganas polis terhadap rakyat di Batu Burok, Terengganu. Rakyat yang sekadar mempraktikkan hak mereka diserang, dipukul dan didakwa hanya semata-mata kerana kepentingan pemerintah dirasakan terancam.
Pada hari Isnin lalu, saya melalui di hadapan Ibu Pejabat Maybank, Kuala Lumpur. Di sana staf Maybank dan staf beberapa bank berdekatan mengadakan piket menuntut hak mereka untuk mendapat bonus dan kenaikan gaji.
Pentadbiran bank yang saban tahun mengumumkan untung ratusan juta ringgit sedang bermain tarik tali dengan staf mereka untuk menafikan hak pekerja mendapat ganjaran sewajarnya untuk kerja mereka di dalam keadaan kos kehidupan yang berterusan meningkat.
Kenapa untung tidak boleh dikongsi dengan adil bersama pekerja yang membolehkan keuntungan besar itu dicapai?
Ayuh! Kita sokong perjuangan kebebasan di Burma dan jangan lupa perjuangan menuntut hak dan kebebasan di Malaysia.
Leave a Comment » |
Komen, Kritik dasar |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 28, 2007
Akhirnya Musa Hassan berkelakuan seperti seorang polis; iaitu memberi fokus kepada usaha menangkap penjenayah dan bukan menyalahkan mangsa dan keluarga mangsa. Beliau mengumumkan bahawa FBI akan didapatkan untuk membantu siasatan kes Nurin Jazlin.
Kita doakan agar kes ini dapat diselesaikan dengan segera.
Selepas ini, Musa perlu pula belajar satu lagi fungsi penting polis, selain daripada menangkap penjenayah, iaitu menjaga keselamatan rakyat dan mencegah jenayah.
Mungkin beliau perlu mendapatkan bantuan luar negara untuk belajar menjadi polis pula.
1 Comment |
Kritik dasar |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 24, 2007

The Brave One adalah filem yang sangat-sangat releven dengan suasana Malaysia mutakhir ini. Erica Bain bukan seorang yang sukakan keganasan. Erica, meski hidup di dalam suasana yang sarat dengan keganasan tidak menjadikannya sebagai amalan.
Namun apabila melihat tunangnya dibunuh oleh penjenayah di depan mata dan pihak polis terus gagal bertindak dengan berkesan, Erica mengambil keputusan untuk membawa pistol. Erica mengambil keputusan untuk menjaga keselamatan dirinya tanpa mengharap kepada sistem yang pincang.
Apabila penjenayah menyerang lagi, Erica menembak untuk mempertahankan diri. Kemudian Erica terus bertindak memburu dan membunuh penjenayah.
Ironinya, pihak polis menjadi sangat cekap dan efisien dalam mengesan vigilante yang membunuh penjenayah sedangkan selama ini mereka tidak mampu bertindak melindungi keselamatan rakyat daripada penjenayah.
Apakah negara kita akan menjadi seperti ini — di mana polis tidak lagi dapat diharapkan untuk menjaga keselamatan rakyat, sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan kelompok tertentu?
Saya doakan agar kita tidak menjadi masyarakat yang terpaksa hidup di luar norma kehidupan dan undang-undang.
Tetapi sekiranya polis terus bertindak seperti sekarang — memeras rakyat, menindas pelancong dan mengambil ‘pau’ daripada pemandu — dengan mengabaikan tugas hakiki mereka memelihara keselamatan rakyat, maka kita tidak punya banyak pilihan selain mempertahankan diri sendiri.
Saya punya keyakinan dan rasa hormat yang tinggi kepada anggota polis. Malah keluarga saya sendiri ada yang berkhidmat sebagai anggota dan pegawai polis. Namun seseorang seperti Musa Hassan sebenarnya hanya mendatangkan malu kepada Polis DiRaja Malaysia dan setiap anggota dan pegawai PDRM.
Saya kira negara, khususnya kepemimpinan negara, harus mengambil tindakan berani dan bertanggungjawab memulihkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis dan kemampuan negara untuk menjaga keselamatan rakyat.
Bertindak segera sebelum rakyat terpaksa bertindak!
Leave a Comment » |
Komen |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 21, 2007
Polis nampaknya sudah tidak ada gunanya di Malaysia ini. Ketua Polis Negara sendiri menyatakan bahawa rakyat perlu menjaga keselamatan mereka sendiri. Bukan tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka, kata beliau.
Saya cadangkan agar semua rakyat Malaysia diberikan latihan dan dibekalkan senjata api. Jika peserta Program Latihan Khidmat Negara dirasakan perlu diajar menggunakan senjata, maka perluaskan sahaja kepada setiap warganegara. Tidak perlu diajarkan senjata tentera, tetapi pistol tangan.
Saya kira selepas itu kita akan benar-benar dapat mewujudkan trigger happy society. Bukankah ini teladan yang ditujukkan oleh polis? Di Kuala Terengganu mereka menembak orang ramai yang tidak bersenjata. Menurut Mohamad Sabu, polis dengan senjata di tangan mengejar orang awam. Tidak timbul sama sekali isu mempertahankan diri daripada ’serangan ganas’ orang ramai.
Justeru sekarang biar setiap rakyat mempunyai pistol. Mereka boleh menembak sesiapa sahaja yang mengancam keselamatan diri dan keluarga mereka. Ini termasuk polis yang gila menembak seperti di Kuala Terengganu.
Dengan cara ini, polis seperti kualiti Musa Hassan tidak lagi perlu wujud. Tidak perlu lagi rakyat menghabiskan jutaan ringgit membayar polis yang enggan menjaga keselamatan mereka, sebaliknya mengancam keselamatan mereka.
Polis di bawah Musa Hassan hanya bagus untuk tugas trafik. Mungkin kerana Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman adalah seorang yang benar-benar tekun menjalankan tugas dan dilihat secara terbuka berusaha memperbaiki kualiti perkhidmatan polis trafik. Saya tidak percaya Musa ada peranan di dalam peningkatan kualiti perkhidmatan ini.
Rakyat perlu memberi kata dua (ultimatum) kepada Musa Hassan untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak yang masih ada dalam tempoh tertentu. Jika tidak Musa perlu mempunyai harga diri dengan meletak jawatan.
‘Perogol Kampung Baru’ berleluasa untuk sekian lama. Kini hanya selepas kehilangan Nurin Jazlin mendapat perhatian meluas, maka Musa mengumumkan mereka hampir mengesan penjenayah itu.
Kenapa mengambil masa begitu lama?
Apakah jika mangsa yang terlibat adalah orang kenamaan, sikap ‘tidak apa’ begini akan diamalkan; atau mungkinkah suspek akan ditangkap di dalam masa tidak sampai 24 jam?
5 Comments |
Komen, Kritik dasar |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 16, 2007
Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan pembaziran yang jauh lebih besar daripada pembelian pemutar skru pada harga yang melampau tinggi oleh Kementerian Azalina. Pembaziran ini melibatkan berbilion-bilion ringgit. Ia dilakukan tidak lain tidak bukan oleh Kementerian Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Bagaimana Najib? Di mana akauntabiliti dan penanggungjawaban? Bila Najib hendak menjawab dan memberi penjelasan kepada pendedahan mengenai Kementerian Pertahanan?
Saya kira kes melibatkan Kementerian Pertahanan ini adalah jauh lebih serius kerana ia melibatkan berbilion-bilion wang rakyat, menjejaskan keupayaan pertahanan negara dan yang paling serius memperjudikan keselamatan anggota pasukan keselamatan kita.
Pembaziran dan penggunaan peralatan sub-standard adalah ancaman kepada pejuang-pejuang yang mungkin tidak akan sempat bertempur tetapi terkorban akibat kerakusan dan sikap tamak pemimpin politik bersama kroni mereka.
Baca ulasan terhadap Laporan Ketua Audit Negara berkenaan Kementerian Pertahanan di laman web Parti Keadilan Rakyat dan Malaysian Defence.com.
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti
Laporan Ketua Audit Negara – Akaun Awam
Leave a Comment » |
Komen, Kritik dasar |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 13, 2007
Saya berbual dengan beberapa orang ahli perniagaan keturunan Tionghua di Puchong semalam. Ada yang mengendalikan kilang bernilai ratusan juta ringgit milik keluarga dan ada juga tauke yang menjalankan perniagaan dengan 5-6 orang pekerja. Kesimpulan menarik yang boleh dibuat daripada perbualan kami ialah:
1. Pentadbiran Abdullah adalah sangat lemah kerana Abdullah Badawi adalah bodoh dan malas. Pada masa yang sama mereka membandingkan dengan pentadbiran Dr. Mahathir yang dianggap cerdik dan rajin. Kerana itu ekonomi Malaysia di zaman Dr. Mahathir lebih sihat dan berkembang maju. “Business banyak… semua orang boleh buat duit,” kata mereka. Tetapi sekarang ekonomi adalah lembab dan peluang perniagaan terhad. Pada pandangan mereka kedua-duanya adalah sama jahat, kedua-dua mereka mengamalkan rasuah dan menyelewengkan wang rakyat. Tetapi kerana Dr. Mahathir cerdik dan rajin sehingga berjaya menggerakkan ekonomi negara, sebelah mata ditutup terhadap kezaliman itu. Sama-sama cari makan, kata mereka. Seperkara lagi, Dr. Mahathir tidak bercakap mengenai membasmi rasuah; tetapi Abdullah terlalu banyak bercakap mengenai membasmi rasuah tetapi padahal dia, kroni dan ahli keluarga sendiri yang paling kuat rasuah dan menyalahguna wang negara.
2. Mereka yakin dengan Anwar Ibrahim untuk memimpin negara dan menggerakkan ekonomi. Saya menyebutkan mengenai peranan penting Tan Sri Khalid Ibrahim. Mereka setuju. Tetapi satu yang menjadi kegusaran masyarakat Tionghua, kata mereka, ialah mengenai kualiti pemimpin-pemimpin Cina di dalam keADILan dan parti-parti alternatif. Kata mereka, “DAP jadi pembangkang boleh la. Cina dalam keADILan pun jadi pembangkang ok. Hantam banyak kuat.” Pada mereka keADILan perlu mencari jalan untuk menjalin kerjasama dengan pemimpin MCA dan Gerakan sekarang.
Saya percaya satu cara lain ialah untuk mendapatkan lebih ramai tokoh berkaliber bukan Melayu untuk memimpin keADILan, khususnya tokoh korporat. Itu akan mampu membina keyakinan rakyat.
Kita kini berada pada era atau tahap baru perjuangan. Perjuangan kita bukan lagi mengkritik dan menghentam. Rakyat umumnya tahu akan kebobrokan BN dan pemimpin-pemimpinnya. Rakyat mahu menukar mereka. Tetapi rakyat bertanya kembali, apa alternatif yang ada? Penerbitan Agenda Ekonomi Malaysia dan Perjanjian keADILan kepada Rakyat telah membantu membina keyakinan rakyat akan kemampuan pemimpin-pemimpin alternatif untuk mentadbir negara.
Tetapi apakah cukup 2-3 orang sahaja yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan mentadbir negara? Sekarang kita perlukan pemimpin yang mempunyai kualiti negarawan (statesman) bukan gerila. Apakah pemimpin-pemimpin yang sedia ada bersedia berusaha meningkatkan kapasiti diri atau berpegang erat kepada semangat perjuangan sebenar dengan mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin baru?
Ayuh! Mari kita memimpin rakyat dengan bersiap sedia mentadbir negara!
Leave a Comment » |
Komen |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 13, 2007
Saya sangat musykil kenapa Nazri Aziz perlu memberikan lampu hijau kepada Badan Pencegah Rasuah untuk menyiasat kementerian-kementerian yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara sebagai mengamalkan amalan tidak sewajarnya di dalam pengendalian kewangan.
Siapa Nazri?
Apakah ini bermakna selama ini BPR berhadapan dengan lampur merah dan hanya untuk kes ini diberikan kebenaran?
Pada hemat saya, menteri-menteri yang terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat misalnya membuat pembayaran kepada pertubuhan-pertubuhan yang sudah dibatalkan pendaftaran. Bagaimana pembayaran tersebut dibuat?
Sudah barang tentu persatuan yang dibatalkan pendaftaran akan juga ditutup akaunnya. Bagaimana bentuk pembayaran ‘bantuan kewangan’ yang dibuat oleh kementerian Shahrizat Jalil dan kepada siapa pembayaran dibuat?
Saya kira pendedahan ini menyerlahkan sikap sebenar Shahrizat berkenaan integriti. Walaupun beliau bercakap beriya-iya mengenai integriti dan taubat, saya kira sekarang kita tidak ada pilihan selain mengatakan, “Integrity my foor, Shahrizat!” Juga, bila beliau bercadang untuk bertaubat daripada mensia-siakan wang rakyat begini? Elok juga beliau bertaubat daripada menjadi menteri.
Leave a Comment » |
Komen, Kritik dasar |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 10, 2007
Saya mengecam keras tindakan ganas polis terhadap orang ramai yang melaksanakan hak asasi mereka untuk berhimpun di Batu Burok, Terengganu. Kenapa BN begitu terdesak sehingga bertindak ganas membahayakan nyawa orang awam begini?
Apakah Agenda Ekonomi Malaysia dan Perjanjian Keadilan Rakyat Malaysia benar-benar menggugat keyakinan mereka untuk terus memperbodohkan rakyat Malaysia dengan penipuan dan janji-janji palsu yang dicampakkan setiap kali menjelang pilihanraya tetapi tidak akan dilaksanakan?
Saya kira tindakan konstabel polis melepaskan tembakan peluru hidup secara melulu ke arah orang awam adalah sangat-sangat mendukacitakan. Lebih tidak bertanggungjawab ialah membenarkan seorang konstabel membawa pistol dengan peluru hidup. Pihak polis sekarang perlu bertanggungjawab dengan memberikan penjelasan kepada rakyat. Berapa lama pengalaman konstabel itu di dalam pasukan polis khususnya di dalam menggunkan senjata api dan mengawal perhimpunan awam?
Kerajaan dan polis perlu menggubal prosedur dan peraturan yang secukupnya untuk memastikan keselamatan dan nyawa orang awam tidak diancam oleh polis.
Begitu juga di dalam mengendalikan perhimpunan aman oleh rakyat. Rakyat mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman. Justeru pihak polis tidak seharusnya membuat halangan-halangan yang bertentangan dengan Perlembagaan. BN pula jangan menguruskan kemudahan awam seperti padang, dewan dan stadium seolah-olah milik peribadi mereka. UMNO khususnya harus sedar bahawa Ibu Pejabat mereka sekalipun dibina dengan memeras keringat rakyat melalui kutipan tol yang konsesinya diberikan kepada syarikat UMNO tanpa melalui proses yang sepatutnya.
Rakyat seharusnya dibenarkan menggunakan kemudahan-kemudahan awam untuk tujuan perhimpunan aman sekalipun ia mengancam cengkaman politik UMNO-BN kerana perhimpunan itu mendedahkan perkara sebenar mengenai kelemahan dan jenayah pemimpin UMNO-BN merampas harta rakyat.
Ada yang menyuarakan tadi bahawa tindakan ini mungkin akan dijadikan alasan untuk menangkap pemimpin-pemimpin keADILan. Saya kira BN perlu ingat bahawa mereka jangan main api. Rakyat tidak akan berdiam diri melihat kerakusan mereka menggenggam kuasa.
RAKYAT AKAN BANGKIT!
Dan apabila itu berlaku mereka pasti akan tumbang.
Leave a Comment » |
Uncategorized |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 6, 2007
“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta (menerangkan apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Al-Baqarah: 160
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”
An-Nasr: 3
Leave a Comment » |
Komen |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani
September 3, 2007
Saya kira adalah sesuatu yang baik untuk mendoakan kesihatan seseorang itu. Namun saya anjurkan agar kita doakan juga agar Dr. Mahathir sempat bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas segala kezaliman yang telah dilakukannya terhadap rakyat dan negara ini.
Marilah kita berdoa dan mengadakan solat hajat agar sekiranya ditakdirkan ajal Dr. Mahathir telah tiba, beliau sempat bertaubat dan meminta maaf.
5 Comments |
Komen |
Permalink
Posted by Ahmad Zaki Yamani