Seorang pengunjung blog saya ini, yang percaya kami pernah bersekolah di sekolah yang sama yakni MRSM Taiping, bertanyakan apakah keADILan ada harapan sekarang ini?
Saya tidak berani menjawab dengan pasti. Namun saya menganggap terjun ke kancah perjuangan rakyat ini memerlukan iman. Saya percaya bahawa perjuangan ini perjuangan yang benar apabila membuat keputusan menyertainya pada tahun 1998 dulu. Kerana ia perkara iman, maka saya hanya boleh yakin bahawa perjuangan ini dan wadahnya, keADILan, mempunyai harapan dan masa depan.
Selagimana saya ada iman terhadap perjuangan ini maka saya akan terus bersamanya.
Sebelum ini saya sudah pernah berhadapan dengan persoalan begini. Saya menjawab dengan bertanya kembali. Ya! Ya! Saya tahu kurang elok menjawab dengan pertanyaan. Tetapi itu yang saya lakukan.
Saya bertanya, ketika Anwar Ibrahim dibebaskan oleh mahkamah, apakah kita tahu ia akan berlaku. Apakah kita melihat harapan untuk Anwar bebas sebelum selesai melalui hukuman? Kita sentiasa menaruh harapan kerana kita yakin pihak yang benar akan menang. Tatkala saya di Istana Keadilan menanti keputusan tersebut, di dalam hati masih ada syak wasangka terhadap khabar yang diterima bahawa Anwar akan bebas meski berita itu diterima daripada pemimpin utama parti. Saya menangis menadah tangan berdoa pada hari itu agar Anwar dibebaskan. Bukan semata-mata untuk dirinya atau keluarganya.
Saya yakin dan percaya bahawa Anwar Ibrahim adalah harapan terbaik untuk rakyat. Kerana saya beriman bahawa ALlah sayangkan hamba-hambaNya rakyat Malaysia, maka saya percaya ALlah akan membebaskan Anwar demi untuk memimpin negara ini dan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih baik.
Ketika berucap di rumah beliau pada 9 Ogos lalu, saya bercakap lebih mengenai membina masa depan dan kurang mengenai kebobrokan dan kejelekan rejim pemerintah sedia ada. Saya tahu pendekatan itu tidak popular. Justeru di hadapan saya pendengar yang saya tidak pasti merenung saya memberikan perhatian atau sekadar menikmati keindahan rumah Anwar di belakang saya.
Tetapi Anwar juga bercakap mengenai masa depan, harapan dan iman. Beliau mengulangi saranan mengenai perancangan mereka dan perancangan ALlah. Apakah kita tahu perancangan ALlah? Kita hanya mampu berharap dan percaya bahawa ALlah itu adil dan keadilan yang akan menang.
Anwar juga bercakap mengenai lawan tetap lawan. Tidak hari ini, esok; tidak bulan ini, bulan depan; tidak tahun ini, tahun depan.
Sekali lagi tema yang sama. Menaruh harapan, percaya dan beriman.