Diktator dan KJ dalam kepala Ezam

Tuduhan Ezam Mohd Nor bahawa Anwar Ibrahim bersikap seperti diktator dan membiarkan Azmin berkelakuan seperti Khairy Jamaludin di dalam keADILan sebenarnya hanya bayangan yang wujud di dalam pemikiran beliau.

Sebagai seorang yang berusaha untuk menjalin hubungan intim dengan KJ, Ezam terbayang-bayang akan KJ di mana-mana.

Sebagai bekas Ketua Pemuda keADILan yang dahulu terang-terangan pernah melakukan tindakan yang bersikap diktator beliau melihat semua tindakan seumpamanya sebagai diktator sifatnya. Melalui kaca mata dan pengalaman sebegitu, beliau membaca semua tindakan.

Anwar telah membiarkan Bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa jua untuk Timbalan Presiden. Ini mungkin boleh ditafsir sebagai sokongan diam-diam kepada Azmin. Itu persepsi.

Saya sendiri pada ketika pencalonan secara terang-terangan menyokong Dr. Syed Husin Ali sebagaimana saya juga pada 2004 secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada beliau.

Pada pemilihan parti 2004, Angkatan Muda Keadilan Bahagian telah mula mencalonkan Shamsul Iskandar sebagai Timbalan Ketua. Bahagian saya ketika itu, Gombak adalah Angkatan Muda Bahagian pertama yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan mencalonkan Shamsul. Proses pencalonan tersebut berjalan dengan sangat demokratik di mana ada juga cadangan untuk mencalonkan Faizal Sanusi. Undi dibuat dan majoriti memihak kepada cadangan saya untuk mencalonkan Shamsul.

Tidak lama selepas itu masalah bermula antara saya dengan Ezam. Namun kempen untuk mencalonkan Shamsul kekal bergerak. Akhirnya saya mengadakan pertemuan dengan Ezam. Beliau mendesak saya agar tidak memberikan sokongan kepada Shamsul. Gaya dan caranya ketika itu benar-benar marah. Beliau memberi ingatan kepada saya agar tidak menentang mentor politik, saya percaya maksudnya beliau sendiri.

Saya menjawab bahawa dengan sokongan padu beliau kepada Faizal, sudah barang tentu Faizal akan menang selesa. Jawab Ezam: “With what you are doing, belum tentu!”

Saya meninggalkan pertemuan itu kekal dengan pendirian saya untuk mendokong Shamsul. Ezam kemudian mengadakan pertemuan dengan beberapa orang lain yang bersama menggerakkan kempen Shamsul. Akhirnya beliau bertemu dengan Shamsul sendiri. Akibatnya Shamsul menarik diri. Kenapa Shamsul menarik diri dan apa yang berlaku dalam pertemuan beliau dengan Ezam, hanya Shamsul yang dapat nyatakan.

Pada hemat saya, tindakan memaksa ini adalah jauh lebih bersikap kuku besi berbanding tindakan Anwar Ibrahim.

Berkenaan tindakan Anwar menarik diri daripada bertanding sebagai Presiden Parti, saya kira proses demokrasi telah berlaku dengan sebaik-baiknya pada Kongres di Seremban. Saya sendiri memberikan ucapan mendesak agar Anwar memberi peluang kepada perwakilan untuk memilih beliau sebagai Presiden. Ramai yang berucap. Pelbagai pandangan yang dikemukakan.

Akhirnya Anwar membuat keputusan untuk tindak bertanding. Bagaimana untuk memaksa beliau?

Ezam sebenarnya meningkah diri sendiri di dalam kenyataan beliau. Pada awalnya Anwar dituduh bersifat diktator. Tetapi kemudiannya beliau menyatakan bahawa Anwar sepatutnya berunding lebih awal dengan Abdul Rahman Osman agar Abdul Rahman menarik diri.

Saya terfikir-fikir apakah mungkin perundingan untuk meminta calon yang bersaing untuk jawatan yang sama akan dianggap diktator. Bercakap selepas kejadian adalah mudah. Seperti kata pepatah Inggeris: Everybody is wiser with hindsight.

Saya kira Ezam telah membuat keputusan bahawa beliau tidak lagi ada keyakinan dengan pucuk pimpinan keADILan. Justeru, teruskan saudara dengan usaha-usaha saudara. Saya harap dan doakan agar saudara terus kekal dalam perjuangan yang sama, meski melalui wadah berbeza.

Kenapa perlu saudara layan masa silam yang akan hanya mengganggu pergerakan masa hadapan saudara. Ayuh kita berusaha dan berjuang untuk masa depan Malaysia.

8 Responses to “Diktator dan KJ dalam kepala Ezam”

  1. shenyeeaun Says:

    Persoalan saya

    1) Mengapa pada masa itu begitu banyak pemimpin mengapa pula Shamsul yang disokong oleh saudara?

    2) Apakah yang ada pada Shamsul yang orang lain tiada ?

    3) Apakah kredibiliti dan kehebatan Shamsul ?

    saya hanya hendak tahu kerana mesti ada sesuatu yang luar biasa atau kualiti tertentu yang ada pada seseorang itu barulah ada orang untuk menyokong mereka.

  2. adihamka Says:

    Sdr Shen,
    soalan saya mudah sahaja.
    Percaya atau tidak sekiranya ditakdirkan Tuhan bahawa Shamsul terpilih menjawat jawatan Timbalan Ketua AMK pada Kongres 2004, kemelut yang berlaku di dalam AMK yang dihebohkan pada Kongres lepas tidak akan timbul? Dalam erti kata lain, Timbalan yang memangku akan lebih mudah tugasnya berbanding Naib yang memangku?

    Pada hemat saya,Shamsul dihenyak dalam keadaan beliau bukan Timbalan Ketua yang diamanahkan untuk memangku jawatan Ketua, sebaliknya Naib Ketua kanan yang memangku. Dalam bahasa matematik, orang nombor 3 terus ke nombor 1. Dalam mana-mana organisasi hatta Umno sendiri pun, saya fikir lebh parah kecelaruan yang timbul.

    Saya tidak mahu bicara panjang persoalan kredibiliti dan kehebatan Shamsul sehingga perlu dia disokong melawan Faisal Sanusi pada tahun 2004, saya bukan orang parti pun pada masa itu. Zaki boleh menjawab persoalan itu.

    Tetapi isu yang timbul, apa respon Ezam berkenaan hal ini? Kita tuntut beliau nafikan isu ini. Tindakan ini menyamai tindakan diktator, sepertimana yang dihambur kepada Anwar.

    Kalau Anwar dikecam diktator oleh Ezam, kerana ‘kononnya’ Anwar mengarahkan KeADILan Permatang Pauh untuk tidak mencalonkan siapa-siapa untuk Timbalan Presiden(yang pada Ezam ini menunjukkan yang Anwar menyokong Azmin,tetapi telah dinafikan sekerasnya oleh AJK KeADILan Permatang Pauh bahawa wujud campurtangan Anwar), apa bezanya kediktatoran Ezam menghalang terus seorang calon untuk bertanding? Ezam tidak boleh memilih untuk tidak menjawab isu ini.

    Katakanlah Ezam mengatakan bahawa Shamsul tidak layak untuk bertanding jawatan Timbalan pada ketika itu, kenapa Ezam menamakan Shamsul sebagai Pemangku?

    Dan isu penting yang saya berminat untuk menerima jawapan daripada Ezam, sekiranya benar beliau bertanggungjawab, kenapa perlu beliau meletakkan jawatan sekaligus bersama Faisal Sanusi pada Oktober 2006 sedangkan beliau boleh terus menjawat jawatan tersebut sehingga Kongres menentukan pengganti? Sedarkah beliau tindakan beliau membiarkan Shamsul mengemudi AMK dalam keadaan memangku jawatan,adalah mendedahkan AMK kepada risiko untuk berhadapan dengan kelompok yang rakus jawatan dan sebagainya?

    Pada hemat saya buang masa untuk memikirkan siapa yang hendak keluar. Ezam kekal sebagai salah seorang pejuang yang saya sanjung,tetapi bukan dalam keadaan beliau menghambur kepimpinan parti.

    Dimana-mana pun,saya akan tetap menyatakan bahawa KeADILan bukan parti one-man-show. Memuja sesetengah pemimpin akan merosakkan berbanding membina kekuatan pemimpin.Hatta andai Zaki dan Shamsul sendiri dijulang melampau,saya tidak akan sama sekali bersetuju.

    KeADILan membawa nama ‘Rakyat’, justeru kepimpinan perlu dirakyatkan, bukan dielitkan dengan idol leadership.

  3. adihamka Says:

    http://nahdah.wordpress.com/2007/06/27/terkesankah-keadilan-dengan-krisis/

    jemput berdiskusi.

  4. shenyeeaun Says:

    Bukan. Bila saya menyoal bukan saya hendak menyoal kredibiliti Shamsul. Tidak dapat dinafikan versi yang saya dapat Fainal Sanusi banyak kekurangan dan kelemahan diri jika hendak dibandingkan dengan Shamsul.

    Kini saya betul – betul ingin tahu apakah kelebihan Shamsul ? Bagi saya isu matematik tidak harus timbul. Jangan kata no 3 lompat kepada 1. Kalau paling bawah naik jadi no 1 pun tiada apa asalkan kerkebolehan. Yang dipandang bukan pangkat yang dipegang tetapi perjuangan yang diperjuangkan dan kepimpinan yang sedia ada.

    Hal ini disebabkan sampai hari ini saya dengan versi yang kurang baik mengenai Shamsul

    Untuk adil kepada Shamsul saya juga harus dengar versi dari para penyokongnya terutama daripada orang yang memilih untuk mendukungnya dari awal.

    Baik dengar dari dua pihak lepas itu buat analisa sendiri.

  5. penjual sayur Says:

    Sdr Shen jawaban kepada persoalan anda spt berikut:-

    1. Sdr Shamsul Iskandar telah dinobatkan sebagai Naib Ketua terkanan (undi terbanyak) Angkatan Muda di kalangan 3 jawatan tersebut oleh perwakilan pada kongres yang lalu. Justeru apabila ketua dan timb. ketua meletakkan jawatan maka Naib Ketua terkanan ditugaskan memangku jawatan ketua. Ini adalah proses demokrasi bukannya pimpinan hujung telunjuk jari. Bahasa mudah AMK bukanlah pengamal kronisma. Syabas Ezam

    2. Sebagai Naib Ketua AMK, beliau telah dilatihdidik untuk menjadi pemimpin pelapis pada PKR. Ini dapat dilihat apabila seringkali diberitugas yang penting untuk menjelaskan dasar2 parti. Terutama sebagai jemputan ahli panel didalam forum diskusi samada secara rakaman atau secara langsung. Justeru itu beliau tidak gagal didalam tugasan yang diamanahkan dan profesyen sebagai peguam sudah tentu beliau punya banyak kelebihan dari yang lain kerana kearifan ttg guaman serta undang2 sedia maklum PKR ni sentiasa berhadapan dengan tindakan undang2 dari pihak sebelah sana.

    3. Bijaksana, Wibawa, Kualiti dan yang paling penting telah di uji dan lulus dengan cemerlang.

    Saya jangkakan sdr akan jadikan polemik pada isu-isu sebegini. Namun cuba bandingkan dengan calon kegemaran sdr ttg ciri-ciri itu.

  6. pureguy Says:

    Diktator memang amalan kita dalam ADIL aper nak dihebohkan.. Kita semua diktator dan kalau ada ahli yang lebih diktator dalam parti maka dia lah yang berhak menjadi pemimpin. yang tak cukup diktator harap keluar parti ye…

  7. Cavalera Says:

    ezam walaupun masih muda tetapi beliau “cepat matang” kata rais yatim,
    You all ingat senang ke nak kuar parti yg dia diantaranya yg dipukul, diterajang, dilokap, pedih mata, air gatal dan bermandi darah utk menubuhkan ADIL kemudian PKN dan skrg PKR. Apa sangatla si shamsul klu nak dibandingkan dgn Faizal Sanusi?
    siapa yg lbh lama dlm sepak terajang politik? Berapa tahun shamsul dlm ADIL dan berapa lama Faizal dlm Parti Rakyat?

  8. kelvin Says:

    i am not a politician, in my opinion, ezam was good when he work together with ADIL leaders..

    but now when he left PKR and join abeno, we don’t like him. we don’t like traitor.
    so much rubbish he tried to slander DSAI and PKR..

Leave a Reply