Ketua Pengarah Jabatan Parit dan Saliran, Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah menyanggah Perdana Menteri Abdullah Badawi yang mengarahkan semua projek tebatan banjir di Kuala Lumpur disegerakan.
Baca laporan Utusan Malaysia.
Abdullah ketika melawat kawasan banjir di Kuala Lumpur memberi arahan agar semua projek tersebut disegerakan. Namun Ir. Keizrul menyatakan bahawa projek-projek tersebut perlu dilaksanakan tertakluk kepada jadual pembinaan yang telah ditetapkan.
Abdullah mempunyai pemikiran simplistik bahawa segala-galanya akan selesai apabila dia masuk campur kerana dia Perdan Menteri. Pada fikirannya, apabila dia katakan “Kun!” (jadi) maka “Fayakun” (Jadilah ia). Tetapi ternyata Ir. Keizrul tidak bersetuju.
Saya fikir selepas ini Ir. Keizrul akan menjadi sasaran serangan pecacai politik UMNO-BN. Beliau mungkin akan dilabelkan sebagai ‘Little Napoleon”, istilah kegemaran Abdullah.
Tetapi saya kira Abdullah tidak ambil hati sangat dengan kenyataan Ir. Keizrul kerana Abdullah juga dahulu ialah kakitangan awam. Kakitangan kerajaan bekerja mengikut struktur dan jadual. Mungkin Abdullah boleh mengambil pendekatan Dr. Mahathir, swastakan sahaja. Pada Dr. Mahathir apa juga jika diswastakan dan dibayar pada harga yang tersangat tinggi menggunakan wang rakyat akan selesai.
Pada hemat saya, masalah banjir di Kuala Lumpur tidak akan selesai dengan tindakan-tindakan reaksi seperti yang dilakukan Abdullah. Hakikatnya ialah Kuala Lumpur terlalu dibangunkan, terlalu pesat. Sebagai sebuah negara yang tidak begitu padat, Malaysia mempunyai banyak lagi kawasan yang boleh dimajukan
Kerana itu perlu diletakkan had kepada pembangunan Kuala Lumpur atau development cap. Tegah sahaja bangunan-bangunan baru daripada dibina dan sebaliknya beri perhatian kepada membina bandaraya lestari dan sejahtera dengan membina lebih banyak taman dan kawasan rekreasi.
Bangunan-bangunan baru seharusnya dibina di luar Kuala Lumpur. Apa perlunya Petronas mempunyai ibu pejabat di Jalan Ampang misalnya, apakah ada aktiviti Petronas di situ selain stesen minyak?