Hari ini, 25 Jun 2007, para pekerja akan berhimpun di beberapa tempat strategik di seluruh negara untuk mengadakan piket bagi menuntut gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM 300 untuk pekerja sektor swasta.
Piket anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini adalah berikutan keengganan pemerintah Barisan Nasional (BN) untuk memberi respon sewajarnya kepada permintaan mereka yang dibuat dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri.
Permintaan ini bukan sesuatu yang tidak munasabah. Yang diminta bukan wang komisen ratusan juta. Yang diminta bukan mahligai dan istana. Yang diminta bukan jet dan kapal mewah.
Yang diminta pekerja hanya sekadar hak mereka untuk hidup dan menjalani kehidupan yang berkualiti.
Di dalam era barang naik (BN) negara yang masih belum nampak tanda-tanda akan reda, apa sangat RM1,200 sebulan. Jika kedua-dua suami dan isteri bekerja tanpa anak, maka jumlah itu sudah tentu cukup selesa untuk menanggung kehidupan. Bagaimana dengan keluarga dengan anak 3 orang misalnya? Isteri barang tentu tidak bekerja kerana untuk menjaga anak. Justeru cukupkah RM40 sehari untuk menanggung 5 orang?
Saya kira sudah sampai masanya rakyat Malaysia memikirkan dengan rasional mengenai pembahagian kekayaan yang jelas tidak seimbang. Golongan yang mempunyai hubungan intim dengan pemerintah mendapat peluang untuk meraih ratusan juta, malah berbilion ringgit, dengan hanya menjadi orang tengah. Untung atas angin, kata orang.
Sedangkan pada masa yang sama, para pekerja kilang, ladang dan sebagainya saban hari membanting tulang sedangkan pendapatan yang diperolehi tidak cukup untuk menampung keperluan asas keluarga sekalipun.
Rakyat Malaysia perlu bersatu di dalam mendokong tuntutan gaji mininum ini.
Selama ini, rakyat Malaysia hidup di dalam keadaan pecah dan perintah BN. Apabila golongan peneroka dihimpit kemiskinan akibat kemerosotan harga komoditi, khalayak lain kekal diam. Apabila kakitangan kerajaan membuat tuntutan kenaikan gaji, kelompok lain hanya diam membisu. Kini apabila kakitangan swasta membuat tuntutan, semua golongan rakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk dengan satu suara menuntut keadilan dan hak rakyat untuk kehidupan.
Kita tidak boleh terus membiarkan BN menggunakan taktik pecah dan perintah yang mereka warisi daripada penjajah Inggeris ke atas rakyat negara ini. Rakyat perlu bersatu!
Saya dapat hargai kebimbangan bahawa penetapan gaji minimum mungkin akan mendatangkan kesan buruk, khusus kepada syarikat-syarikat kecil. Justeru kerajaan perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah ini.
Kekayaan negara yang diraih, terutamanya daripada Petronas, tidak seharusnya digunakan untuk memuaskan nafsu Perdana Menteri dan kelompok kecil elit pemerintah. Hentikan pembaziran dengan pembelian jet mewah dan sebagainya. Projek-projek yang semata-mata untuk memuaskan ego pemimpin BN tidak seharusnya diteruskan.
Kekayaan negara perlu digunakan untuk rakyat.
Permintaan pekerja hidup di atas garis kemiskinan, untuk hidup di luar belenggu kemiskinan bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Tidak boleh ada tolak ansur dalam hal rumah untuk perlindungan keluarga, wang susu untuk anak-anak, persekolahan dan sebagainya. Ini yang perlu diutamakan berbanding untuk berbelanja besar agar Perdana Menteri dan BN kelihatan gah dan hebat.
Justeru saya cadangkan, jika benar gaji minimum akan mejejaskan perniagaan, maka kerajaan perlu memberikan bantuan samada di dalam bentuk pelepasan cukai kepada syarikat terlibat atau bantuan kewangan terus kepada pekerja.
Satu cara lain ialah untuk kerajaan memastikan kos sara hidup di Malaysia adalah cukup rendah dan mampu dinikmati oleh setiap rakyat. Harga barangan perlu dikawal samada melalui campur tangan kerajaan untuk menjadi pengeluar barangan tersebut atau inisiatif lain untuk meningkatkan penawaran.
Melaung melalui media massa dan membuat ugutan kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga barang sedangkan kos bahan mentah, petroluem dan sebagainya meningkat adalah perbuatan sia-sia.
Hari ini, mari kita bersama-sama di dalam piket yang akan diadakan.
Tarikh:
Isnin, 25 Jun 2007
Masa:
5.00 ptg – 6.30 ptg
Tempat:
| Kuala Lumpur |
Berhampiran Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut |
| Petaling Jaya |
Berhampiran Lam Soon & Cycle & Carriage, Lebuhraya Persekutuan |
| Shah Alam |
Bulatan Sek 15 (Goodyear) |
| Klang |
Berhampiran Jayajusco, Bandar Baru Klang |
| Bangi |
Berhampiran Pasaraya Warta |
| Melaka |
Berhampiran Melaka Mall |
| Johor Bahru |
Berhampiran Pejabat Pos Johor Bahru dan HSBC |
| Ipoh |
Taman Sri Kelebang |
| Pulau Pinang |
Jalan Baru Prai; berhampiran Megamall dan Padang TNB |
| Kuching |
Wisma Saberkas; simpang Batu Lintang – Green Road |
Ayuh rakyat! Mari bersatu menuntut keadilan!