Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk menggugurkan status Islam daripada MyKad sebenarnya bukan penamat kepada kontroversi dan persoalan besar yang melanda umat Islam di negara ini.
Meski keputusan itu dilihat sebagai mempertahankan peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan kedudukan agama seseorang Muslim atau yang pernah Muslim, apakah keputusan itu akan mengembalikan Azlina kepada Islam?
Apakah dengan keputusan itu iman akan kembali subur di dalam diri Azlina?
Saya kira Solat Hajat besar-besaran berkenaan perkara ini yang dianjurkan pada malam sebelum Mahkamah Persekutuan bersidang seharusnya memberikan penumpuan lebih kepada doa agar ALlah memberikan hidayah dan taufik kepada Azlina dan semua umat Islam yang menghadapi krisis keyakinan dan krisis iman agar kembali kepada jalan yang benar dan lurus.
Apakah kepada kita perkara ini sekadar pertarungan antara mereka yang ingin murtad dan mereka yang mempertahankan Islam dan kita serahkan kepada sistem kehakiman untuk menentukan siapa yang lebih berkuasa dan lebih benar? Persoalan yang dibicarakan oleh mahkamah hanya persoalan teknikal dan prosedur semata-mata.
Pada hemat saya, pemimpin dan umat Islam perlu bekerja keras sekarang untuk memantapkan kefahaman dan akidah umat. Sekiranya pada tahun 70an, gerakan Islam seperti ABIM memainkan peranan besar untuk mengubah persepsi dan kefahaman umat kepada nilai Islam yang sebenar, sekarang gerakan-gerakan Islam perlu aktif memainkan peranan tersebut kembali.
Sekiranya dulu memakai skaf adalah dianggap cukup Islamik dan memadai, usaha keras gerakan Islam telah memberikan kefahaman kepada umat mengenai erti menutup aurat yang sebenar.
Seorang tokoh wanita yang terlibat dengan ABIM pernah meceritakan kepada saya bagaimana beliau dan saudaranya adalah antara orang pertama yang memakai tudung labuh, menutup aurat di ITM. Perubahan yang mereka lakukan adalah sukar dan menghadapi tekanan dan pandangan serong komuniti kampus. Namun mereka tetap teguh melakukannya. Berkat sokongan dan dokongan teman-teman di dalam ABIM mereka tidak berganjak.
Ini yang harus kita lakukan kini. Meski cabarannya lebih getir, yakni melibatkan persoalan iman ia tidak dapat tidak mesti dilakukan.
Percambahan dan penambahan umat Islam yang teguh iman dan berpegang kepada nilai adalah sesuatu yang baik untuk negara ini. Kerana nilai adalah tetap dan murni, pegangan kepada nilai akan menjadikan mereka rakyat yang lebih baik. Mereka yang teguh iman akan tidak melakukan kejahatan dan sudah tentu mereka menolak rasuah, kezaliman dan penindasan.
Kefahaman Islam yang tulen juga akan memastikan hubungan antara agama dan antara kaum yang sihat. Dialog akan lebih diutamakan berbanding menonjolkan kekuatan dan menakut-nakutkan kelompok lain. Ini sekaligus akan menjamin hak dan kedudukan komuniti bukan Islam yang sememangnya dijamin oleh Islam.
Namun persoalan paling besar ialah apakah umat Islam di Malaysia bersedia menghadapi dan mengatasi cabaran ini?
Posted by Ahmad Zaki Yamani