Hentikan kegelisahan rakyat akibat ancam mengancam

May 9, 2007

Di dalam entri di blog beliau, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya terkeliru dengan mengenepikan prinsip akhlak atas nama moral. Saya bersetuju seratus peratus bahawa prinsip akhlak tidak harus kita ketepikan atas nama apa sekalipun.

Kendatipun begitu saya kurang pasti apa sebenarnya perbezaan antara akhlak dan moral.

Meski saya setuju dengan prinsip-prinsip umum yang dinyatakan di dalam entri tersebut yang merupakan respon kepada entri blog saya sebelum ini, beberapa perkara perlu diletakkan dalam perspektif yang tepat.

Sedari awal saya mengatakan bahawa menjaga aib seseorang adalah sebahagian daripada adab sopan dan malah sesuatu yang dituntut di dalam agama dan juga cara hidup madani.

Tetapi saya menyatakan bahawa di dalam soal yang menyentuh mengenai peribadi seorang tokoh awam (public figure), soal moral beliau juga menjadi sebahagian daripada perkara dirinya yang mana rakyat punya hak untuk tahu.

Sekiranya beliau ingin mengelakkan daripada menanggung aib, maka seorang tokoh awam tidak punya pilihan selain daripada mengundurkan diri dari arena awam. Maka rahsia-rahsia peribadi yang mengaibkan ini sebenarnya boleh sahaja menjadi senjata untuk memaksa seseorang mengundurkan diri dan melupakan cita-cita politiknya.

Saya punya keyakinan, sebagaimana saya telah yakin dengan integriti diri beliau selama ini, bahawa Anwar tidak mempunyai niat jahat terhadap Najib. Yang beliau mahu ialah Najib berterus terang di dalam beberapa urusan khusus yang sebenarnya diragui umum sebagai ‘tidak bersih’.

Kebelakangan ini Najib dan Samy Vellu khususnya telah membuat ancaman untuk mendedahkan perkara peribadi Anwar. Samy pergi lebih jauh dengan menyatakan bahawa dia boleh ‘menghabiskan’ Anwar dalam masa yang singkat. Najib pula membuat ancaman tetapi kerana hormat kepada isteri dan anak-anak Anwar, dia tidak akan mendedahkan perkara peribadi tersebut. Anwar juga menjawab terhadap Najib dengan nada yang sama.

Saya kira tanggapan umum sudah tentu cenderung untuk memikirkan bahawa soal peribadi itu sudah tentu jelek dan buruk. Tidak mungkin Najib mengancam Anwar dengan pendedahan jika yang hendak didedahkan ialah perkara baik.

Justeru, tanggapan umum terhadap Anwar cenderung untuk berubah ke arah negatif. Sekiranya beliau tidak punya hasrat untuk mendedahkan perkara tersebut, beliau tidak seharusnya membuatkan pandangan rakyat menjadi negatif terhadap Anwar dengan menyebut perkara tersebut sekalipun.

Malah membuat ancaman itu sendiri telah mendatangkan sangkaan buruk kepada Anwar. Sedangkan kita telah dididik oleh Islam agar menjauhi sangkaan-sangkaan dan khabar-khabar tanpa bukti.

Sebenarnya pandangan saya ini saya tujukan kepada kedua-dua pihak atau mana-mana pihak yang telah atau punya rancangan untuk membuat ancaman mendedahkan aib orang. Jika tidak mahu didedah, jangan dibuat ancaman sekalipun. Jangan jadi seperti Chandra Muzaffar, saya ingatkan. Ancaman awam itu sendiri tidak bermoral.

Kenyataan Anwar bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu hanya kerana pemerhati politik melihatnya sebagai perkara sensasi saya kira adalah satu kenyataan yang bijak. Namun saya tidak pernah memikirkan diri saya sebagai ahli apatah lagi pemerhati atau pakar politik.

Saya pasti saya bukan pemerhati politik kerana saya terjun ke kancah perjuangan rakyat sedari umur saya belum 22 tahun lagi, ketika saya menuntut di IPTA sehingga mengakibatkan saya dipecat di samping menghadapi pelbagai tekanan. Saya sentiasa sedar apa yang saya lalui amat jauh daripada pengorbanan Anwar dan Datin Seri Wan Azizah Ismail. Pun begitu, saya berada jauh di belakang barisan rakyat yang berjuang dan tidak di tepi memerhatikan sahaja.

Saya adalah rakyat Malaysia, pemegang MyKad. Kerana itu saya percaya saya punya hak untuk tahu mengenai sebarang kebobrokan peribadi, kejelekan akhlak atau kebejatan moral sesiapa juga yang memutuskan untuk mahu menjadi tokoh awam.

Ini kerana saya sebagai rakyat tidak mahu memberikan sokongan kepada tokoh awam ini, biar siapa sekalipun, sebelum saya punya keyakinan penuh akan integriti dirinya. Hanya dengan pengetahuan itu rakyat dapat membuat keputusan dengan sedar dan celik hati, tanpa perlu mengetuk pintu dhamir berulang kali mencari ilham yang tak pasti.

Wallahua’lam.