Anwar dan Najib: Laksanakan tanggungjawab moral anda

May 7, 2007

Najib Razak dan Anwar Ibrahim berbalas-balas ancaman dalam bentuk peringatan “Jangan paksa saya dedahkan mengenai peribadi anda!”

Saya kira ancaman ini adalah kerana adab sopan untuk tidak mendedahkan aib orang lain. Atau mungkin juga sekadar untuk meraih keuntungan politik semata-mata?

Tetapi barang perlu kita ingatkan kedua-dua mereka bahawa kedua-duanya bukan orang awam biasa. Seorang ialah Timbalan Perdana Menteri dengan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, sementara seorang lagi ialah bekas Timbalan Perdana Menteri yang dicita-citakan rakyat menjadi Perdana Menteri.

Kedua-duanya memikul tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara. Sekiranya mereka mempunyai  kerosakan perwatakan (character flaw) dan melakukan perbuatan tidak bermoral yang serius, ia menjejaskan keupayaan dan kelayakan mereka untuk memimpin rakyat.

Sekiranya kesalahan itu sebenarnya tidak ada, maka yang mengancam pula telah berdosa menimbulkan sangkaan jahat terhadap yang diancam.

Rakyat punya hak untuk tahu apa sebenarnya ‘peribadi’ kedua-dua manusia ini. Dan mereka yang tahu perkara sebenar mempunyai tanggungjawab moral untuk mendedahkannya dengan bukti yang lengkap agar rakyat dapat membuat keputusan yang termaklum (well informed decision).

Jangan lagi bersilat pulut sepertimana Chandra Muzaffar yang tatkala meninggalkan keADILan menggesa Anwar dan Azizah untuk mengetuk pintu dhamir mereka dan mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat.

Saya bersama saudara Rustam Sani ketika itu mengendalikan penerbitan Suara PRM dan Berita Alternatif. Kami adalah satu-satunya penerbitan yang mengambil pendirian mencabar Chandra untuk mendedahkan apa yang dia tahu. Berita Keadilan sekalipun ketika itu tidak menghadapi Chandra.

Akhirnya Chandra terpaksa mengalah kerana tidak ada sebarang rahsia yang mampu dia ceritakan kepada rakyat.

Ayuh Anwar, ayuh Najib! Jangan jadi Chandra Muzaffar. Laksanakan tanggungjawab moral anda dan dedahkan kebenaran sekarang!

Jika tidak, pohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan satu sama lain.


Ijok dari pelbagai sudut

May 7, 2007

Setiap orang boleh mempunyai persepsi berbeza dan melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut yang berbeza. Justeru prestasi keADILan di Pilihanraya Kecil Ijok mendapat pelbagai reaksi dan komen.

Ada yang mengatakan keADILan kalah dan akan terus berakhir. Sementara ada yang lain mengatakan bahawa keADILan sebenarnya menang. Saya sendiri melihat keADILan dan Barisan Rakyat kalah. Kalah kepada penipuan dan tipu helah Barisan Nasional.

Ramai teman-teman yang menyuarakan kekecewaan kerana segala usaha keras di Ijok tidak membuahkan hasil kemenangan yang diharap-harapkan. Kepada semua yang telah bekerja keras di Ijok, saya katakan, “jangan kecewa. Tuhan mengukur kita bukan dengan hasil tetapi dengan niat dan usaha kita.”

Namun kepada sesetengah yang lain yang menyuarakan perkara yang sama, saya katakan, “Saya amat kecewa dengan saudara.”

Kenapa begitu berbeza respon saya? Kerana kelompok kedua ini menyatakan kekecewaan sedangkan apabila saya bertanya di Bahagian mana dia bergiat aktif dalam keADILan, dia menjawab tidak ada.

Bagaimana mungkin perubahan hendak berlaku jika tukang kata lebih banyak daripada tukang buat?