Kes Lina Joy sebagai titik bertolak kerja keras umat Islam

May 31, 2007

Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk menggugurkan status Islam daripada MyKad sebenarnya bukan penamat kepada kontroversi dan persoalan besar yang melanda umat Islam di negara ini.

Meski keputusan itu dilihat sebagai mempertahankan peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan kedudukan agama seseorang Muslim atau yang pernah Muslim, apakah keputusan itu akan mengembalikan Azlina kepada Islam?

Apakah dengan keputusan itu iman akan kembali subur di dalam diri Azlina?

Saya kira Solat Hajat besar-besaran berkenaan perkara ini yang dianjurkan pada malam sebelum Mahkamah Persekutuan bersidang seharusnya memberikan penumpuan lebih kepada doa agar ALlah memberikan hidayah dan taufik kepada Azlina dan semua umat Islam yang menghadapi krisis keyakinan dan krisis iman agar kembali kepada jalan yang benar dan lurus.

Apakah kepada kita perkara ini sekadar pertarungan antara mereka yang ingin murtad dan mereka yang mempertahankan Islam dan kita serahkan kepada sistem kehakiman untuk menentukan siapa yang lebih berkuasa dan lebih benar? Persoalan yang dibicarakan oleh mahkamah hanya persoalan teknikal dan prosedur semata-mata.

Pada hemat saya, pemimpin dan umat Islam perlu bekerja keras sekarang untuk memantapkan kefahaman dan akidah umat. Sekiranya pada tahun 70an, gerakan Islam seperti ABIM memainkan peranan besar untuk mengubah persepsi dan kefahaman umat kepada nilai Islam yang sebenar, sekarang gerakan-gerakan Islam perlu aktif memainkan peranan tersebut kembali.

Sekiranya dulu memakai skaf adalah dianggap cukup Islamik dan memadai, usaha keras gerakan Islam telah memberikan kefahaman kepada umat mengenai erti menutup aurat yang sebenar.

Seorang tokoh wanita yang terlibat dengan ABIM pernah meceritakan kepada saya bagaimana beliau dan saudaranya adalah antara orang pertama yang memakai tudung labuh, menutup aurat di ITM. Perubahan yang mereka lakukan adalah sukar dan menghadapi tekanan dan pandangan serong komuniti kampus. Namun mereka tetap teguh melakukannya. Berkat sokongan dan dokongan teman-teman di dalam ABIM mereka tidak berganjak.

Ini yang harus kita lakukan kini. Meski cabarannya lebih getir, yakni melibatkan persoalan iman ia tidak dapat tidak mesti dilakukan.

Percambahan dan penambahan umat Islam yang teguh iman dan berpegang kepada nilai adalah sesuatu yang baik untuk negara ini. Kerana nilai adalah tetap dan murni, pegangan kepada nilai akan menjadikan mereka rakyat yang lebih baik. Mereka yang teguh iman akan tidak melakukan kejahatan dan sudah tentu mereka menolak rasuah, kezaliman dan penindasan.

Kefahaman Islam yang tulen juga akan memastikan hubungan antara agama dan antara kaum yang sihat. Dialog akan lebih diutamakan berbanding menonjolkan kekuatan dan menakut-nakutkan kelompok lain. Ini sekaligus akan menjamin hak dan kedudukan komuniti bukan Islam yang sememangnya dijamin oleh Islam.

Namun persoalan paling besar ialah apakah umat Islam di Malaysia bersedia menghadapi dan mengatasi cabaran ini?


Hak ahli memilih Presiden

May 29, 2007

Ketika Kongres Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini di Seremban, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan kepada perwakilan surat halangan daripada Pendaftar Pertubuhan terhadap beliau daripada bertanding jawatan Presiden.

Beliau kemudiannya membuka peluang kepada perwakilan untuk memberikan pandangan.

Saya antara lain mengatakan bahawa keADILan selaku parti para pejuang tidak seharusnya tunduk semata-mata kepada arahan dan tekanan ROS. Sekiranya dulu kita tunduk kepada keputusan mahkamah dan kerajaan yang menitahkan bahawa Anwar bersalah, maka sudah tentu kita tidak berjuang dan melakukan usaha-usaha untuk mendapatkan kebebasan beliau.

Saya memperkatakan soal hak ahli parti untuk memilih sesiapa yang dikehendaki sebagai Presiden. Ini medapat sokongan padu perwakilan yang bangun dan melaungkan Reformasi! tiga kali.

Saya tidak sempat menghabiskan hujah saya bahawa sekiranya Anwar setelah mengambil kira pandangan dan kebijaksanaan ramai mengambil keputusan untuk tidak bertanding, maka usaha-usaha yang nyata dan melibatkan rakyat terbanyak perlu diadakan bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap tekanan dan halangan pemerintah melalui ROS itu.

Mungkin kerana keadaan begitu ‘panas’ ketika itu atau kerana terlalu ramai perwakilan lain yang mahu bercakap, maka saya terhenti sebaik kemuncak laungan Reformasi itu tanpa menghabiskan hujah saya.

Namun saya kesal dengan beberapa perwakilan yang berucap dan menyatakan bahawa kita mesti akur dan patuh dengan keptusan Anwar Ibrahim. Pada hemat saya tidak timbul sama sekali soal keengkaran kerana beliau sekadar meminta pandangan perwakilan. Sekiranya beliau membuat keputusan tidak dapat memegang jawatan Presiden atas apa alasan sekalipun, itu hak beliau, parti tidak boleh memaksa.

Tetapi seperti yang saya katakan, memilih Presiden adalah hak ahli parti yang tidak seharusnya ditekan oleh mana-mana pihak. Sekiranya BN mengambil kesempatan daripada pemilihan Anwar sebagai Presiden untuk mengharamkan Parti Keadilan Rakyat, mereka melakukan kesilapan besar.

Ini kerana selama ini keADILan beroperasi di dalam sistem pilihanraya yang dikuasai BN dan penuh penipuan. Kerana itu BN mudah untuk menang. Tetapi di luar sistem pilihanraya, belum tentu BN handal. Justeru jangan paksa keADILan memilih pilihan jalanraya.

Saya juga kesal dengan beberapa perwakilan yang berucap dan mengungkit pengorbanan ahli dan pendokong Reformasi selama ini. Saya kira pengorbanan kita terlalu kecil untuk dibandingkan dengan pengorbanan Anwar dan Azizah.


Kedudukan Istimewa Melayu lwn Hak Istimewa Pemimpin UMNO

May 29, 2007

Daripada buku The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time, laman 82-83:

…the leaders of the Alliance realised the practical necessity of giving the Malays a handicap if they were to compete on equal terms with the other races. The only point of controversy was the duration of the ’special position’ — should there be a time limit or should it be permanent? I made a suggestion which was accepted, that the question be left to the Malays themselves, because I felt that as more and more Malays became educated and gained self-confidence, they themselves would do away with this ’special position’ because in itself this ’special position’ is a slur on the ability of the Malays and only to be tolerated because it is necessary as a temporary measure to ensure their survival in the modern competitive world: a world to which only those in the urban areas had been exposed. (Drifting c12)

Jelas sekali dari kacamata Tun Dr. Ismail, kedudukan istimewa Melayu adalah hanya sesuatu yang bersifat sementara, yang diperkenalkan untuk membolehkan orang Melayu bersaing secara adil dengan kaum-kaum lain. Ia bukan satu hak semata-mata kerana mereka dilahirkan Melayu.

Namun pemimpin UMNO kemudiannya menjadikan kedudukan istimewa ini hak yang tidak boleh diganggu gugat. Berpusat kepada ‘hak’ ini mereka mengapi-apikan semangat Melayu dan menjadikan orang Melayu sentiasa merasa tidak selamat, terancam dengan kemajuan dan kekayaan kaum-kaum lain.

Tun Dr. Ismail juga yakin orang Melayu akan menolak kedudukan istimewa Melayu apabila semakin ramai di kalangan mereka yang berpendidikan dan mempunyai keyakinan diri. Namun akibat asuhan UMNO, orang Melayu masih tidak mempunyai keyakinan diri.

Saya kira sudah sampai masanya orang Melayu memperjuangkan kedudukan istimewa mereka di dalam erti kata sebenarnya, yakni memberikan peluang kepada sesiapa yang ketinggalan untuk bersaing secara adil.

Peluang-peluang perniagaan, khususnya di dalam bidang-bidang kritikal perlu dibuka kepada orang Melayu dengan cara memberikan latihan dan pendedahan. Pendidikan orang Melayu perlu ditingkatkan dengan memberi pendedahan awal kepada bidang sains dan teknologi. Syarikat-syarikat besar perlu diberikan galakan dan tekanan politik untuk menyediakan skim latihan dalam kerja (apprentice) kepada anak-anak Melayu.

Pembinaan kapasiti ini adalah penting untuk menbebaskan orang Melayu daripada belenggu ketinggalan dan kelemahan.

Penyalahgunaan kedudukan istimewa Melayu menjadi hak istimewa pemimpin Melayu untuk menyalahgunakan kuasa, menyelewengkan kekayaan negara dan membolot segala peluang sebenarnya menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan dan terpaksa hidup terhina sebagai bangsa lemah yang mengharapkan perlindungan dan bantuan untuk hidup.

Apakah Melayu yang terkenal sebagai pejuang itu begini sikapnya?


Anwar mengenai Nilai, Akhlak dan Etika

May 21, 2007

Pada 19 Mei 2007, saya hadir di Majlis Makan Malam Tindakan dan Muafakat Rakyat, Negeri Perak Darul Ridzuan di Bukit Merah Lake Town Resort berdekatan Taiping. Majlis anjuran keADILan Perak itu dihadiri hampir seribu orang tetamu. Pada malam yang sama, keADILan Perak juga mengadakan satu lagi majlis makan malam diadakan di Gunung Rapat, Ipoh.

Anwar Ibrahim tiba di Bukit Merah sekitar jam 10 malam, selepas menghadiri majlis di Gunung Rapat.

Beliau menyampaikan pidato utama pada malam itu dengan membicarakan soal nilai, akhlak dan etika. Beliau menegaskan bahawa nilai mesti kekal tetap, konsisten dan tidak relatif.

Hanya dengan nilai yang kukuh, rakyat akan dapat menolak sebarang godaan termasuk rasuah dan ugutan yang cuba memaksa mereka membuat keputusan yang sebenarnya merugikan diri mereka sendiri dalam jangka masa panjang. Di dalam pilihanraya, seringkali berlaku akibat pegangan nilai yang tidak mantap, pengundi akan dapat dibeli oleh Barisan Nasional.

Beliau mengkisahkan mengenai epik Hindu terkenal, Mahabrata. Apabila disoal apakah perkara paling penting di dalam epik tersebut, ramai yang mengatakan bahawa peperangan dan pertempuran yang berlaku sebagai mesej utama. Namun menurut Anwar, yang paling utama ialah dialog panjang antara Arjuna dan Krishna. Dialog tersebut adalah perbahasan mengenai nilai.

Menurut Anwar apabila seseorang berpegang kepada nilai, sebagaimana yang diajarkan dan diterap oleh pegangan agama masing-masing, maka individu itu akan berlaku adil kepada semua.

Sebagai seorang Muslim, beliau tidak melihat sebarang halangan kepada dirinya untuk membantu seorang bukan Muslim yang memerlukan bantuan. Begitu juga negara, pada pandangan beliau, perlu membantu setiap rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

Oleh yang demikian, Anwar menyatakan rancangannya, apabila keADILan dan parti-parti rakan membentuk kerajaan, untuk menggunakan RM10 bilion daripada keuntungan tahunan RM70 bilion Petronas untuk membasmi ‘hidup merempat’ daripada bumi Malaysia.

“Sudah tentu majoriti penerima bantuan adalah Melayu kerana yang paling ramai memerlukan ialah Melayu. Tetapi apakah tidak ada orang India, tidak ada orang Cina yang miskin? Mereka juga akan dibantu. Membantu bangsa lain tidak bermakna kita menjejaskan Melayu,” kata Anwar.

Menurutnya kekayaan negara ini cukup untuk semua rakyat yang memerlukan. Tetapi kerana sekelompok kecil penguasa membolot kekayaan negara atas nama Dasar Ekonomi Baru, membantu Melayu, Dasar Bumiputra dan sebagainya, ada rakyat negara ini yang terpaksa hidup dibelenggu kemiskinan.

Kata beliau, “Jika ada orang Melayu yang persoalkan kenapa bantu orang Cina, orang India; saya akan tanya dia apa agama dia. Kalau dia seorang Muslim, tidak ada sebab untuk menghalang bantuan kepada sesiapa juga yang memerlukan.”

Tegas Anwar: Nilai Islam menjamin kehidupan semua.


Nazri Aziz tuduh Bernard Dompok berbohong?

May 18, 2007

Tuduhan Nazri Aziz bahawa tindakan Bernard Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat mengenai Integriti sebenarnya kerana dipengaruhi oleh Lim Kit Siang adalah satu tuduhan yang sangat berat terhadap seorang Menteri Kabinet.

Ini kerana Nazri sebenarnya telah mengatakan bahawa Dompok tidak berkata benar apabila Dompok memberi penjelasan kepada Kabinet (yang juga dihadiri oleh Nazri) bahawa beliau meletakkan jawatan kerana berpandangan kedudukan beliau sebagai ahli Kabinet mungkin menyebabkan beliau tidak dapat berlaku adil terhadap tugas Jawatankuasa yang diamanahkan.

Tuduhan Nazri ini telah ditolak oleh Dompok sendiri.

Nazri seharusnya dituntut untuk mengemukakan bukti dan keterangan bagi menyokong tuduhannya itu. Ini kerana Nazri mengatakan bahawa ahli-ahli Jawatankuasa tersebut daripada BN yang menyatakan perkara itu kepadanya. Justeru kesemua mereka yang membuat tuduhan itu perlu memberikan keterangan. Jika bukti tidak dikemukakan, ternyata Nazri telah membuat tuduhan liar atau ‘cheap shot’ sebagaimana dikatakan oleh Dompok.

Sementara itu Kit Siang menganggap perletakan jawatan Dompok ini adalah isyarat amaran merah bahawa ura-ura Abdullah untuk meningkatkan integriti semakin gagal. Tindakan melantik seorang Anggota Kabinet bagi mempengerusikan Jawatankuasa Khas Parlimen adalah sesuatu yang tidak pernah didengari berlaku di lain-lain Negara Komanwel.

Jawatankuasa Khas Parlimen seharusnya bebas. Melantik seorang Anggota Kabinet sebenarnya menjejaskan doktrin pemisahan kuasa. Malah ia menjejaskan kelancaran perjalanan tugas jawatankuasa yang ada. Satu daripada empat Jawatankuasa yang ditubuhkan masih belum bermesyuarat setelah 6 bulan dibentuk. Ia adalah Jawatankuasa Etika dan Integriti Ahli Parlimen yang diketuai oleh Najib Razak.

Jawatankuasa mengenai Integriti yang dipengerusikan oleh Dompok sebenarnya sudah menghadapi pelbagai tekanan termasuk tindakan memboikot penyiasatannya oleh jabatan kerajaan. Ini menunjukkan sikap acuh tak acuh kerajaan terhadap usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti. Kerajaan perlu mengeluarkan arahan melalui pekeliling kepada setiap kakitangannya untuk memberikan kerjasama penuh dan sesiapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

Seharusnya Jawatankuasa Parlimen diberikan kuasa untuk memanggil sesiapa juga untuk memberikan keterangan. Sebarang usaha menghalang Jawatankuasa melaksanakan tugas seharusnya dilihat sebagai tindakan menghina Parlimen dan peruntukan perlu diwujudkan untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang melakukannya.


Kuah tidak semestinya tumpah ke nasi

May 18, 2007

Apabila wakil rakyat DAP, Chong Chien Jen (Kota Sentosa) di DUN Sarawak meminta wakil BN, Abdul Karim Hamzah (Asajaya) agar “jangan kurang ajar” apabila Karim menggangu ucapannya tanpa meminta izin atau mendapat kebenaran, Speaker Dewan mengarahkan Chong agar menarik balik kata-katanya dan setelah Chong enggan dia diarahkan keluar dewan.

Baca laporan NST.

Peringatan Chong agar jangan kurang ajar dikatakan kurang ajar. Oleh itu apa yang perlu dibuat dengan wakil rakyat BN yang sememangnya biadap atau kurang ajar? Katakan kepada mereka “silakan kurang ajar” mungkin.

Namun andainya Speaker DUN Sarawak benar-benar tegas dan tidak berat sebelah, beliau seharusnya dilantik ke Dewan Rakyat di dalam Parlimen Kedua belas nanti. Ini kerana mungkin beliau boleh mengawal beberapa Ahli Parlimen BN yang lebih gemar berperangai seperti badut dan monyet daripada menjadi pemimpin dan Ahli Parlimen.

Ini terpaksa dilakukan kerana BN seperti yang digambarkan oleh kenyataan Najib Razak akan tetap dan terus mempertahankan manusia-manusia substandard sebegitu sebagai wakil rakyat.

Di dalam kes menghina wanita oleh Bung Makhtar Radin dan Mohd Said, mungkin mereka melakukan kesilapan. Jika benar, minta maaf dengan setulusnya. Tetapi cara mereka menuturkan penghinaan itu dan sikap sambil lewa dalam meminta maaf adalah cerminan sikap dan pandangan sebenar mereka terhadap wanita.

Saya kira tuntutan agar mereka berdua digantung tugas sebagai Ahli Parlimen dengan gaji didermakan kepada pertubuhan wanita dan kedua-dua mereka melakukan tugas amal di pertubuhan wanita adalah tuntutan yang perlu didokong dan dipertegaskan oleh setiap rakyat.

Sikap dan pendirian pemimpin BN sebegini yang sebenarnya menyebabkan rakyat bangun menentang BN, selain rasuah dan kezaliman mereka. Pemimpin-pemimpin BN, termasuk Najib sebenarnya hanya memalukan pengasas-pengasas UMNO, Perikatan dan BN di peringkat awal.

Ternyata, kuah tidak semestinya tumpah ke nasi.


Wakil Rakyat menghina wanita cerminkan hati budi BN

May 17, 2007

Najib Razak sudah mengumumkan bahawa dua Ahli Parlimen BN yang membuat kenyataan biadap terhadap wanita sebagai tidak bersalah. “Mereka tidak berniat menghina wanita. Tetapi kerana ramai yang tidak berpuas hati maka kita akan kaji tindakan,” kata Najib pada 16 Mei seperti disiarkan oleh media massa.

Bagaimana Najib tahu niat sebenar dua Ahli Parlimen yang kebiasaannya berperangai dan bersikap buruk itu sebelum beliau membuat siasatan dan memanggil kesemua pihak yang terlibat untuk memberi keterangan?

Sebagai Ketua Whip BN di Dewan Rakyat, Najib perlu bersikap lebih telus dan adil. Hanya kerana kedua-dua mereka adalah wakil BN, maka semua yang dilakukan adalah tidak apa. Bayangkan respon Najib dan tentu lebih lagi Shahrizat Jalil andainya kenyataan yang sama dituturkan oleh wakil rakyat bukan dari BN.

Saya kira insiden seperti ini sebenarnya mencerminkan hati budi dan sikap sebenar BN. Mereka mengambil sikap tidak apa asalkan ia dilakukan oleh kalangan mereka. Tidak apa asalkan menguntungkan mereka, sekalipun merugikan rakyat. Tidak apa sekiranya menipu dan menindas asalkan mereka yang untung.

Kerana sikap ini juga rakyat bangkit menentang mereka. Untuk mempertahankan diri, pemimpin BN akan mengungkit mengenai jasa BN selama ini. Mereka akan mengaitkan diri mereka dengan pemimpin BN silam.

Kita katakan kepada mereka, “UMNO sekarang dan UMNO yang asal adalah tidak sama. BN sekarang tidak sama dengan BN dahulu, apatah lagi dengan Perikatan.”

Nama mereka mungkin sama, tetapi isi sudah lain sama sekali. Yang hilang ialah hati budi mereka.


Malang si Abdullah

May 15, 2007

Nampaknya sekarang Perdana Menteri Abdullah Badawi terpaksa campur tangan dalam semua hal bagi memastikan menteri-menteri kabinet, kakitangan kerajaan, persatuan sukan dan sebagainya menjalankan tugas dengan betul.

Dahulu Abdullah sendiri terpaksa campur tangan mengenai siling bocor dan paip pecah di bangunan-bangunan kerajaan. Katanya, “Periksa semua bangunan. Kena pakar yang periksa.”

Siapa atau syarikat mana yang merupakan pakar dalam memeriksa bangunan itu? Badawi&Co. lagi?

Sekarang apabila timbul masalah mengenai kedatangan Manchaster United ke Malaysia, Abdullah campur tangan dan MU akan datang ke Malaysia. Untuk teman-teman saya, penyokong MU, saya turut gembira.

Kesibukan di tanah air ini sebenarnya memberi kesan buruk kepada perkara-perkara penting yang dikendalikan Abdullah sebelum ini. Mungkin kerana kesibukan ini, restoran nasi kandar Ibrahim Badawi di Perth sudah gulung tikar sedangkan sebelum ini ketika Abdullah melancarkannya ia sangat gilang-gemilang.

Saya kira pemergian Abdullah untuk pameran batik (batik ke? Saya sendiri tidak ingat) di Australia mungkin untuk memberi sentuhan emas kepada restoran tersebut. Tetapi kerana terlalu lama disibukkan dengan masalah di Malaysia, nasi kandar sudah menjadi bubur.

Saya kira Abdullah tentu bosan (fed up) dengan menteri-menteri dan kakitangan kerajaan yang tidak tahu buat kerja sehingga memaksa beliau melakukan semua kerja sendiri. Malang sungguh beliau mendapat kabinet sebegitu.

Beliau perlu memberi peringatan kepada menteri dan kakitangannya agar memberi perhatian kepada perkara yang penting seperti siling bocor. Jangan peduli dengan isu besar, jangan peduli dengan penyebab sebenar masalah bangunan rosak ini, yakni rasuah dan kerja sambil lewa. Jangan peduli punca kepada sebarang masalah, tetapi lantik sahaja pakar untuk memperbaiki apa yang rosak.

Aduhai… Apakah Abdullah yang malang atau Malaysia yang sebenarnya malang mendapat Perdana Menteri seperti ini?


Salah tanggapan terhadap tulisan saya

May 12, 2007

Ada yang tersalah tanggap mengenai tulisan saya mengendai ancam mengancam yang semakin membudaya di dalam masyarakat Malaysia dewasa ini. Saya sama sekali tidak menggasak atau menghentam Anwar Ibrahim.

Yang saya pohon ialah semua pihak berhenti membuat ancaman kosong semata-mata mengenai kejelekan peribadi lawan politik. Rakyat punya hak untuk tahu apa sebenarnya yang merupakan kejelekan tersebut.

Mungkin masing-masing menunggu masa yang sesuai dan peluang impak yang paling hebat untuk melakukannya. Namun di dalam proses itu, ia sebenarnya membangkitkan keresahan dan kegelisahan rakyat.

Lama-kelamaan pukul canang dan genderang perang sebegini akan menjadi lazim dan ancaman serius daripada pemimpin akan dianggap gertakan kosong dan hilang nilainya.


Membina institusi untuk masa depan keADILan

May 10, 2007

keADILan adalah parti politik yang pada hemat saya, menerima sokongan massa yang luar biasa sejak penubuhannya. Setiap kali ada acara besar khususnya Pilihanraya, samada kecil atau umum, keADILan tidak mempunyai masalah untuk mengumpul orang. Malah ceramah-ceramah yang disertai pemimpin keADILan, khususnya Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik minat ribuan, malah puluhan ribu pendengar.

Namun saya perhatikan bahawa masalah yang dihadapi oleh keADILan sebenarnya ialah ketiadaan pekerja-pekerja sepenuh masa yang ramai. Justeru kerja-kerja sebelum pilihanraya atau usaha berterusan seperti mengesan pengundi hantu, kepincangan daftar pemilih, culaan, tinjauan pendapat, risikan dan sebagainya tidak dapat dilakukan dengan berkesan.

Meski mendapat sokongan tenaga sukarelawan yang ramai, seringkali mereka ini tidak terlatih. Tidak ada skim latihan yang tersusun untuk para sukarelawan ini. Lantas apabila tiba pilihanraya, ramai yang memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang straight forward seperti menampal poster dan sebagainya.

Parti atau gerakan massa lain memberikan tumpuan kepada mengadakan petugas sepenuh masa ini dengan tekun. UMNO dan BN tidak perlu kepada usaha ini kerana mereka melakukannya melalui jabatan dan jentera kerajaan, terutamanya Kemas.

PAS mempunyai ribuan pekerja sepenuh masa di seluruh negara. Namun mereka ini tidak dibiayai oleh parti, tetapi sebaliknya mereka bekerja dengan PASTI dan pelbagai institusi lain. Pada masa yang sama, mereka juga melakukan tugas-tugas untuk parti yang merupakan majikan peringkat paling atas mereka. ABIM juga menggunakan mekanisme yang sama.

Meski kebanyakan pekerja ini adalah wanita, para suami dan ahli keluarga mereka akan memberi sumbangan tenaga kerana wujud ikatan yang lebih kukuh dan berpanjangan. Kebanyakan sukarelawan keADILan seringkali menghadapi kekangan tugas. Sukarelawan ini harus kita bezakan dengan mereka yang mempunyai minat atau cita-cita politik yang berusaha keras untuk mendapat tempat di dalam parti.

Pada hemat saya, keADILan perlu memberikan perhatian serius kepada usaha mewujudkan institusi. Ini adalah penting untuk masa depan keADILan. Malah ia penting untuk meyakinkan rakyat bahawa parti ini mempunyai rancangan jangka panjang untuk terus wujud dan berkhidmat kepada Malaysia.

Institusi-institusi ini perlu mempunyai ramai pekerja sepenuh masa dan pada masa yang sama mampu membiayai sendiri operasi (self sustaining). Namun kesemua pekerja dan orang ramai perlu tahu bahawa pemilik akhir institusi atau syarikat tersebut adalah Parti Keadilan Rakyat.