Pilihanraya kecil Ijok telah berakhir dengan mencatat sejarah. Peratus keluar mengundi di Ijok ialah paling tinggi dalam sejarah negara – hampir 82%. Justeru boleh diandaikan bahawa penduduk Ijok mempunyai kesedaran politik dan kesungguhan untuk ikut serta di dalam proses pilihanraya yang paling tinggi di Malaysia.
Saya bangga! Sekurang-kurangnya hampir dua minggu masa yang dihabiskan bersama masyarakat di sana tampaknya membuahkan hasil meningkatkan kesedaran mereka.
Atau apakah hakikatnya adalah berlainan sekali? Banyak pihak tidak yakin dengan peratusan keluar mengundi yang begitu tinggi. keADILan mencapai peningkatan undi popular di lima daripada sembilan daerah mengundi.
Di daerah-daerah Batang Berjuntai (Bestari Utara dan Selatan) dan Pekan Ijok yang mempunyai populasi Tiong Hua yang tinggi, keADILan mencatatkan peningkatan 50% dan 100% masing-masing.
Kemerosotan keADILan sebenarnya berlaku di daerah-daerah dengan peratus pengundi Melayu yang ramai. Ternyata usaha membeli undi dan menakut-nakutkan pengundi yang dijalankan UMNO memberi kesan selain daripada faktor undi hantu yang ditumpukan di Bukit Badong dan Jaya Setia.
Saya sendiri mengesan dua bas dari Pokok Sena sehari sebelum hari mengundi dan dua bas lagi dari Perlis ditahan pada hari mengundi — kesemuanya di Bukit Badong.
Apakah dengan ‘kemenangan’ di Ijok ini Abdullah Badawi akan segera mendapat ilham untuk mengadakan Pilihanraya Umum? Pada hemat saya beliau akan terpaksa menunggu beberapa ketika kerana sedar bahawa kemenangan di Ijok adalah kemenangan palsu dan sebenarnya mood rakyat adalah menolak BN.
Peralihan pengundi Cina terutamanya adalah sangat besar sehingga mereka tidak mampu mengatasinya dengan undi hantu dan penipuan sekalipun.
Justeru kita harus melipatgandakan usaha sekarang. Kita tidak perlu menunggu Parlimen dibubarkan untuk menggerakkan jentera kita. Rakyat yang sudah sedar akan kebobrokan BN perlu diyakinkan bahawa masa depan mereka adalah lebih baik bersama Barisan Rakyat dan rakyat yang masih belum yakin atau takut untuk membuat perubahan perlu diyakinkan bahawa hanya dengan membuat perubahan mereka akan dapat menyelamatkan masa depan mereka dan anak-anak mereka.
Teruskan berjuang!
Posted by Ahmad Zaki Yamani
Posted by Ahmad Zaki Yamani
Posted by Ahmad Zaki Yamani